Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: Hanya 30 peratus peniaga di pekan Rantau Panjang yang membuka premis dan menjalankan operasi perniagaan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan.

Tinjauan ke kawasan zon bebas cukai itu mendapati, keadaan lengang dengan hanya beberapa kedai menjual pakaian, alatan dapur, mainan dan makanan dibuka, selain tiada lagi kesesakan jualan gerai tepi jalan yang menjadi tarikan pengunjung sebelum ini.

Malah, tiada kesesakan lalu lintas berlaku di waktu puncak seperti hari biasa sebelum PKP, dengan tapak parkir utama kereta di tengah-tengah pekan berkenaan kosong tanpa kenderaan.

Peniaga, Wan Safuan Wan Omar, 32, berkata hanya pengunjung tempatan datang membeli-belah menyebabkan ramai peniaga tiada semangat membuka kedai kerana jumlah pelanggan merosot dengan mendadak.

Katanya, pekan Rantau Panjang sebelum ini 'hidup' dengan kedatangan pengunjung luar, malah kami tidak menang tangan menyediakan stok jualan terutama sewaktu cuti sekolah atau hujung minggu.

"Kami akur dengan arahan kerajaan yang tidak membenarkan rentas daerah atau negeri demi memutuskan rangkaian Covid-19.

"Saya masih membuka premis setiap hari bermula 9 pagi sehingga 6 petang, walaupun pelanggan tidak sampai 10 orang sehari.

"Pada masa sama, saya menggunakan inisiatif jualan dalam talian bagi memastikan perniagaan dapat terus dijalankan," katanya yang berniaga cadar, periuk dan pinggan mangkuk.

WAN Safuan menunjukkan cadar yang dijual di premisnya ketika ditemui di Pekan Rantau Panjang. FOTO Syaherah Mustafa
WAN Safuan menunjukkan cadar yang dijual di premisnya ketika ditemui di Pekan Rantau Panjang. FOTO Syaherah Mustafa

Menurutnya, dia rindukan hiruk pikuk dan kesibukan pekan itu yang sentiasa dikunjungi ramai pelancong daripada dalam dan luar negara, tetapi semuanya berubah angkara Covid-19.

Katanya, berikutan itu, malah rakan niaga di kiri dan kanan premisnya mengambil keputusan menutup seketika kedai mereka.

Penduduk, Othman Saari, 42, mengakui pekan terbabit sunyi sejak PKP dilaksanakan, tetapi pada masa sama menganggap ia sesuatu yang positif demi memastikan penularan wabak di kawasan berkenaan tidak terus berleluasa.

"Tidak mengapa, saya yakin bila isu wabak ini dapat diselesaikan dan kehidupan kembali normal, pekan Rantau Panjang 'hidup' semula, sekali gus memberi sinar buat peniaga untuk mencari rezeki.

"Buat masa ini, sebagai rakyat kita patuh sahaja dengan saranan kerajaan selain mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) supaya wabak penyakit ini dapat dikekang secepat mungkin," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Mei 2021 @ 3:23 PM