GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

Putrajaya: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menangguhkan keputusannya terhadap rayuan bekas staf mantan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang disaman oleh Selangor Menteri Besar Incorporated (MBI) untuk mendapatkan semula pembayaran pampasan dibuat tanpa kebenaran.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf berkata, mereka memerlukan lebih masa untuk mempertimbangkan isu yang dibangkitkan dalam rayuan dan akan memaklumkan pihak berkenaan mengenai tarikh keputusan itu.

Hakim lain yang menganggotai panel itu terdiri daripada Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed, Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Zabariah Yusof.

Bekas ketua pegawai eksekutif MBI Faekah Hussin dan bekas ketua pegawai operasi Rohany Talib diperintahkan Mahkamah Rayuan pada 2018 untuk memulangkan RM1.219 juta kepada MBI yang dibayar kepada mereka sebagai pampasan.

MBI juga menamakan lima lagi bekas pegawai sebagai reponden dalam samannya tetapi Mahkamah Rayuan tidak mengeluarkan sebarang perintah ke atas mereka.

Lima bekas pegawai itu ialah Arfa'eza Abdul Aziz, Mustapha Mohd Talib, Rahimah Kamarudin, Abdul Halim Mohamed Yusof dan Tuan Nazuri Tuan Ismail.

Bagaimanapun, ketujuh-tujuh mereka yang diwakili peguam Edmund Bon Tai Soon dan New Sin Yew membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu.

Pada 2017 Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan bayaran pampasan kepada ketujuh-tujuh mereka adalah sah.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mengubah keputusan itu dan menyatakan keputusan dibuat Menteri Besar dalam kapasitinya sebagai Pengerusi MBI perlu mendapat kelulusan lembaga pengarah.

Pada 11 Mei 2015, MBI memfailkan saman itu dan menuntut semula wang yang dibayar kepada mereka melalui skim pemberhentian secara sukarela (VSS) pada 2014.

Dalam prosiding hari ini yang berlangsung menerusi aplikasi zoom, Bon berhujah Abdul Khalid diberikan kuasa penuh dan mutlak untuk membuat keputusan pembayaran berjumlah RM2.7 juta kepada tujuh stafnya kerana beliau satu-satunya entiti sah di bawah MBI.

"Tiada keperluan untuk mendapatkan kelulusan Lembaga Pengarah," katanya sambil menambah Faekah dan Rohany hanyalah bertindak atas arahan Abdul Khalid dan mereka perlu mematuhinya.

Tiada kesalahan atau liabiliti boleh dikenakan ke atas mereka (Faekah dan Rohany) kerana pembayaran VSS itu," katanya sambil menambah lima lagi perayu hanyalah penerima yang tidak bersalah di atas pembayaran VSS kerana diberhentikan perkhidmatan mereka oleh MBI.

Beliau juga berkata perayu tidak boleh dipertanggungjawabkan ke atas pecah amanah dan melanggar tugas fidusuari kepada Lembaga Pengarah MBI.

Peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili MBI berhujah bahawa keputusan Menteri Besar untuk membuat pembayaran bermaksud untuk bertindak sebagai pengerusi MBI tanpa keputusan lembaga pengarah, adalah tidak sah.

Beliau berkata, empat pertanyaan perundangan yang dikemukakan perayu tidak perlu dijawab oleh Mahkamah Persekutuan kerana isunya adalah kontrak pekerjaan.

Katanya, tiada peruntukan untuk VSS di bawah terma kontrak pekerjaan antara MBI dengan perayu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2021 @ 9:12 PM