Oleh Fuad Hadinata Yaacob

Shah Alam: Beberapa bulan selepas mendiamkan diri, bekas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akhirnya menyindir pentadbiran Menteri Besar Mohamed Azmin Ali terutama dalam menangani beberapa isu termasuk membabitkan keputusan yang dibuatnya sebelum ini, semalam.

Malah, Abdul Khalid turut menyatakan Mohamed Azmin bukan seorang menteri besar yang baik jika asyik berpolitik dan tidak bersikap profesional dalam menjalankan tanggungjawab yang dipikulnya sejak September lalu.

Beliau diminta mengulas mengenai tindakan pentadbiran Mohamed Azmin yang mempertikaikan beberapa keputusan dibuatnya tahun lalu termasuk pembayaran gratuiti berjumlah RM2.6 juta terhadap lapan bekas kakitangan Menteri Besar Diperbadankan (MBI) dan penamatan kontrak 22 kakitangan anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan PKNS Holdings Sdn Bhd (PHSB).

Menurutnya, apa yang berlaku terutama pemecatan kakitangan boleh dibawa ke Mahkamah Industri untuk diadili.

“Perkara ini (pemecatan kakitangan) boleh dibawa ke Mahkamah Industri, ia akan diadili. Ini bukan permainan politik, ini (tindakan) profesional.

“Ketelusan dan kebertanggungjawaban satu tindakan profesional,” katanya ketika ditemui selepas sesi Kolokium Melayu Yang Terlena, di sini, semalam.

Mengenai tindakan dan kenyataan Mohamed Azmin sebelum ini membabitkan isu pembayaran gratuiti yang menyatakan seolah-olah berlaku salah laku dalam pemberian itu, Abdul Khalid berkata, apa yang dilakukannya adalah telus dan secara terbuka.

“Apa yang dipersoalkan ialah sama ada orang itu (lapan bekas kakitangan berkenaan) mempunyai hak atau sebaliknya, bukan mencuri duit. Jika Menteri Besar ambil duit daripada pemaju untuk kegunaan sendiri, itu salah tapi ini untuk pekerja, jadi tidak ada masalah,” katanya.

Pada 3 Januari lalu, Mohamed Azmin mengarahkan lapan bekas pembantu Abdul Khalid yang juga kakitangan MBI memulangkan wang gratuiti berjumlah RM2.6 juta.

Beliau dilaporkan berkata, siasatan pengurusan MBI mendapati bayaran pampasan menerusi Skim Pemberhentian Secara Sukarela (VSS) itu tidak dibuat mengikut terma dan syarat ditetapkan serta melanggar tatacara peraturan kewangan.

Bagaimanapun, Abdul Khalid enggan mengulas lanjut mengenai nasib bekas kakitangannya itu, sebaliknya menyatakan ia masih dalam perbincangan antara peguam.

“Perkara yang sangat penting mesti ditumpukan oleh kerajaan negeri ialah menyelesaikan pembangunan di Selangor.

“Biar mahkamah tentukan. Saya menjalankan tugas saya sebagai Menteri Besar (ketika itu) supaya perkara pentadbiran itu dapat diselesaikan dengan mantap dan teratur dan mereka yang layak dibenarkan (mendapat pembayaran berkenaan).

“Oleh itu, biar mahkamah tentukan kesahihan dan juga perkara yang dilakukan MBI dan juga eksekutif MBI,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 January 2015 @ 7:20 AM