Shah Alam: Menteri Besar Incorporated (MBI) dan lapan bekas kakitangannya kini dalam proses penelitian beberapa syarat rundingan berhubung pampasan RM2.6 juta tahun lalu.

Proses mediasi yang dijalankan di Pusat Mediasi Mahkamah Shah Alam semalam, ditangguhkan dan akan disambung semula pada 23 Oktober depan bagi membolehkan kedua-dua pihak meneliti terlebih dulu syarat yang dikemukakan mereka.

Peguam Edmund Bon Tai Soon yang mewakili tujuh daripada lapan bekas kakitangan MBI itu berkata, kedua-dua pihak mengemukakan syarat berhubung tuntutan itu.

Katanya, bagaimanapun syarat dikemukakan tidak boleh didedah dan dibincangkan kepada umum.

“Hari ini (semalam) kedua-dua pihak kemukakan syarat masing-masing untuk membolehkan penelitian dibuat sebelum dipersetujui.

“Proses Mediasi dijalankan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Wan Azira Wan Khairilanwar,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Pada 28 Julai lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Hadhariah Syed Ismail mencadangkan kedua-dua pihak menyelesaikan isu pemulangan pampasan berkenaan menerusi proses mediasi.

Lapan bekas pegawai terbabit adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Faekah Hussin; Rohani Talib, Arfa’eza Abdul Aziz, Mustapha Mohd Talib, Rahimah Kamarudin, Dr Sulaiman Masri, Abdul Halim Mohamed Yusof dan Tuan Nazuri Tuan Ismail.

Menteri Besar Mohamed Azmin Ali pada 16 Januari lalu mengarahkan bekas pegawai kakitangan berkenaan memulangkan semula wang pampasan yang dibuat kepada mereka ketika pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurut Mohamed Azmin, pembayaran pampasan yang dibuat kepada bekas kakitangan terbabit tidak mengikut tatacara dan peraturan kewangan.

Setiap bekas kakitangan berkenaan dilaporkan menerima pampasan antara RM114,870 hingga RM699,000 seorang.

Abdul Khalid sebelum ini dilaporkan bersedia disiasat Jabatan Audit Selangor berhubung dakwaan penyelewengan bayaran pampasan kepada lapan pembantunya kerana yakin pembayaran itu dibuat mengikut prosedur yang sah ketika menjadi Menteri Besar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2015 @ 4:51 AM