Oleh Fuad Hadinata Yaacob

Shah Alam: “Kita tidak akan berkompromi jika ada unsur yang melanggari peraturan dan salah guna kuasa,” kata Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali mengulas mengenai pemberian pampasan terhadap lapan bekas pembantu bekas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Mohamed Azmin berkata, laporan audit yang dijalankan terhadap Menteri Besar Diperbadankan (MBI) menunjukkan ada unsur salah guna kuasa membabitkan pemberian pampasan terhadap lapan bekas pembantu berkenaan.

Katanya, ia bukan hanya membabitkan jumlah yang besar malah proses pemberian pampasan juga menunjukkan ada unsur salah guna kuasa.

“Wang dipindahkan dalam tempoh singkat....serta-merta. Tindakan akan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab,” katanya di sini semalam.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah sebenar pampasan yang diberikan kepada lapan bekas pembantu itu seperti yang dinyatakan dalam laporan audit berkenaan.

Sejak minggu lalu, desas-desus mengatakan proses pemberian pampasan membabitkan RM2.6 juta terhadap lapan bekas pembantu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MBI, Faekah Husin dan Setiausaha Akhbarnya, Arfa’eza Abdul Aziz dilakukan tidak mengikut prosedur.

Mohamed Azmin berkata, laporan itu sudah dikemukakan pada mesyuarat EXCO minggu lalu dan kelmarin ia dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah MBI.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 November 2014 @ 5:14 AM