GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Pelantikan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) sebagai pemborong tunggal dalam program Insentif Benih Padi Sah (IBPS) akan menyelesaikan masalah pengagihan, harga dan pengedaran yang berlarutan sejak sekian lama.

Ia disambut baik Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) yang menyifatkan pelantikan itu sebagai permulaan baik bagi menyelesaikan isu yang menghantui golongan itu selama ini.

Exco Pesawah Abdul Rashid Yob berkata, dengan pelantikan berkenaan, pesawah kini tidak lagi berdepan isu manipulasi harga oleh pihak tertentu yang memberikan masalah kepada mereka.

Katanya, pihaknya berharap supaya penstrukturan semula itu akan melonjak kembali pengeluaran padi khususnya di dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada).

"Kita menyambut baik pelantikan NAFAS ini. Sebelum ini, isu ini kita pernah suarakan di dalam sesi libat urus.

"Jadi kita mengharapkan walaupun NAFAS boleh mengawal harga benih padi yang diedarkan mereka, harga siling benih padi mesti juga ditetapkan melalui undang-undang untuk mengelakkan eksploitasi harga secara total.

"Kami berpendapat penyelesaian jangka panjang adalah dengan menghapuskan sistem monopoli dan sistem kuota benih," katanya.

Abdul Rashid. FOTO ihsan pembaca
Abdul Rashid. FOTO ihsan pembaca

Sementara itu, Pengerusi Kelab Pesawah Sungai Manik, Ahmad Ismail berkata, dengan pengumuman berkenaan, pesawah kini mempunyai jaminan untuk mendapatkan bekalan benih berkualiti berbanding sebelumnya.

Katanya, ini kerana, benih akan diperoleh daripada saluran sah dengan harga tidak lebih RM35 setiap kampit 20 kilogram berbanding antara RM50 hingga RM100 sebelum ini.

"Ini berita gembira buat petani dan pesawah kerana rintihan kami didengar kerajaan. Kami tidak perlu bimbang lagi dengan kualiti benih dan harga kerana sebelum ini ada pihak mengambil kesempatan menjual benih kampit putih yang rendah mutunya menyebabkan pengeluaran padi terjejas," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, pelantikan Nafas sebagai ejen tunggal untuk mengedarkan benih padi membolehkan penetapan harga siling benih padi sah dilaksanakan tanpa membabitkan tambahan peruntukan insentif kepada kerajaan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, dengan cara itu, ia dapat mengelak manipulasi benih padi sah dan harga di lapangan menerusi pembelian tanpa kawalan oleh pelbagai pihak di pintu kilang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 2:49 PM