Dr Ronald Kiandee
Dr Ronald Kiandee
Oleh Mahaizura Abd Malik


Putrajaya: Mengatasi isu lambakan pengeluaran hasil pertanian dan perikanan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 antara pencapaian terbesar diraih Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sepanjang tahun lalu.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pendekatan digunakan bukan saja memastikan jaminan keselamatan makanan untuk rakyat, malah membantu kelangsungan pengusaha industri terbabit.

"Kita berjaya memastikan bekalan makanan tidak terputus ketika PKP pertama lalu dan pada masa sama kita turut berdepan lambakan makanan seperti sayur-sayuran dan ikan disebabkan penutupan outlet pemasaran.

"Namun, kita berjaya atasinya dengan pendekatan pelaksanaan Pasar Segar Terkawal (PST) di 196 lokasi terpilih serta melancarkan pemasaran dan perniagaan dalam talian dengan kerjasama Shopee, Lazada, MyGrocer, Ourshop/Ourfarm Airasia, Dropee dan sebagainya.

"Ini adalah pencapaian paling besar kita di MAFI dalam memastikan jaminan keselamatan makanan untuk rakyat," katanya pada sidang media khas sempena setahun pencapaian kementerian itu.

Beliau mengakui, pasukannya turut berdepan cabaran pandemik Covid-19, namun dengan kerjasama semua pihak berkaitan mereka berjaya memastikan keadaan sentiasa terkawal.

"Agak mencabar bagi kami ketika itu kerana negara kita sedang dilanda penularan pandemik Covid-19 dan industri agromakanan turut menghadapi cabaran besar khususnya pada peringkat awal pelaksanaan PKP.

"Kelancaran rantaian makanan terganggu antaranya pengeluaran, pengedaran dan peruncitan produk hasilan pertanian dan industri makanan.

"Namun, dengan kerjasama semua pihak berkaitan, kita dapat mengawalnya dan sepanjang masa kita memastikan bekalan makanan untuk rakyat berada dalam keadaan mencukupi dan stabil," katanya.

Menurutnya, tahun lalu MAFI turut berjaya meletakkan agenda keselamatan makanan sebagai agenda nasional dengan tertubuhnya Jawatankuasa Kabinet Dasar Sekuriti Makanan Negara (FSCC) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"MAFI juga sedang membangunkan Sistem Profil Tanah Sawah Padi di seluruh negara dan pengurusan maklumat padi.

"Maklumat profil tanah bagi 350,000 hektar pasel padi akan memudahkan penyediaan formulasi baharu baja bersubsidi serta membolehkan pemantauan keseluruhan rantaian nilai padi dan beras dilaksanakan secara dalam talian.

"Selain itu, MAFI juga menambah baik proses pengedaran benih padi sah dengan inisiatif baharu antaranya dengan melantik Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) sebagai pemborong tunggal dalam program inisiatif dan harga benih padi sah pada paras RM35 satu beg," katanya.

INFOGRAFIK
INFOGRAFIK

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mac 2021 @ 10:54 AM