GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Tindakan dua lelaki didapati memiliki ganja yang mahu menyogok polis tidak berhasil apabila mereka ditahan, semalam.

Suspek berusia 26 dan 32 tahun itu ditahan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) pada 2.30 petang di Jalan Klang Lama.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, suspek ditahan ketika memandu kereta dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut menemui dua balutan rokok mengandungi daun kering disyaki ganja.

"Suspek pada mulanya menawarkan sogokan RM400 kepada anggota polis bagi membolehkan mereka dilepaskan.

"Namun, suspek yang terdesak menaikkan sogokan kepada RM2,900 tetapi tetap tidak dihiraukan anggota polis yang kemudian menahannya untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields untuk siasatan lanjut dan kini, direman selama tiga hari.

Katanya, suspek disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Bagi kesalahan cubaan merasuah polis, suspek akan disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2021 @ 9:27 AM