Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque


Shah Alam: Sepuluh individu termasuk dua pekerja Telekom Malaysia (TM) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, malam tadi.

Pengarah SPRM Selangor, Datuk Simi Abdul Ghani berkata, individu berusia 22 hingga 57 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung kesalahan memberi sogokan bagi melindungi pemasangan kabel dan peralatan tidak sah milik syarikat itu.

Beliau berkata, semua suspek ditahan kerana disyaki membayar sogokan supaya tidak diambil tindakan kerana menceroboh dan menggunakan aset TM seperti kabel untuk kegunaan syarikat lain.

"SPRM sudah mendapatkan perintah tahanan reman selama empat hari daripada Mahkamah Majistret Shah Alam untuk siasatan lanjut.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan sabit kesalahan boleh dihukum denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau kedua-duanya dan penjara sehingga 20 tahun," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2016 @ 6:16 PM