KAKITANGAN MBKT sedang melakukan kerja pembersihan di pantai Miami, Seberang Takir, hari ini. FOTO Baharom Bakar
KAKITANGAN MBKT sedang melakukan kerja pembersihan di pantai Miami, Seberang Takir, hari ini. FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Orang ramai diminta menghindari kawasan pantai di negeri ini berikutan kejadian ombak besar dan angin kencang yang dijangka melanda sehingga Rabu ini.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, angin kencang bertiup antara 50 hingga 60 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian 2.5 meter hingga 2.7 meter dijangka berlaku terutama di kawasan ini.

"Keadaan itu boleh membahayakan keselamatan dan orang ramai diminta menghindari kawasan tepi pantai berkenaan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

"Hasil tinjauan pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di beberapa lokasi pantai termasuk di pantai Seberang Takir, masih terdapat orang ramai berada di pantai untuk bermain ombak.

"Setakat ini, hanya laluan (pesisir pantai) dari Seberang Takir ke pusat bandar raya ditutup berkuat kuasa hari ini. Penutupan laluan satu hala itu dilakukan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini," katanya yang juga Pengarah APM Terengganu.

Sementara itu, tinjauan di pantai Seberang Takir atau lebih dikenali sebagai Pantai Miami mendapati kerja pembersihan sampah sarap dan timbunan pasir di atas jalan giat dilakukan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Tinjauan di lokasi itu mendapati beberapa pegawai dan anggota APM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut ditempatkan untuk memberi nasihat kepada orang ramai agar tidak menghampiri dan bermain di atas benteng memecah ombak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2021 @ 3:41 PM