OMBAK besar dan angin kencang membadai di pesisir Pantai Miami, Seberang Takir yang mengakibatkan jalan raya dipenuhi sampah. Ombak setinggi 3 meter itu melepasi benteng sehingga jalan terpaksa ditutup untuk semua kenderaan. FOTO Ghazali Kori
OMBAK besar dan angin kencang membadai di pesisir Pantai Miami, Seberang Takir yang mengakibatkan jalan raya dipenuhi sampah. Ombak setinggi 3 meter itu melepasi benteng sehingga jalan terpaksa ditutup untuk semua kenderaan. FOTO Ghazali Kori
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: "Bagaikan tsunami yang berlaku kerana percikan ombak besar berserta sampah sarap memenuhi ruang jalan itu," kata Azizan Abd Wahab.

Azizan, 44, berkata, dia pertama kali melihat ombak besar seperti itu menghempas pantai sepanjang lapan tahun menetap di situ.

"Memang kejadian air pasang besar dan ribut berlaku setiap kali musim tengkujuh tetapi kejadian yang berlaku semalam berbeza daripada kebiasaan.

"Saya dan keluarga berasa bimbang untuk tinggal di rumah malam ini oleh itu akan menumpang rumah ibu bapa di Setiu untuk sementara waktu," katanya ketika ditemui di rumahnya yang terletak di tepi Pantai Miami, Seberang Takir di sini, hari ini.

Tambahnya, dia membaiki semua atap rumahnya sebagai persiapan menghadapi sebarang kemungkinan kejadian ribut yang lebih kuat.

AZIZAN membetulkan atap rumahnya yang longgar bagi menghadapi sebarang kemungkinan kejadian ribut yang lebih kuat. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
AZIZAN membetulkan atap rumahnya yang longgar bagi menghadapi sebarang kemungkinan kejadian ribut yang lebih kuat. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli

Sementara itu, Awie Muda, 56, berkata, kejadian air pasang besar berserta angin sebelum terhasil ombak besar itu biasa berlaku di kawasan Pantai Miami itu.

"Lebih 50 tahun saya menetap di tepi Pantai Miami itu oleh itu sudah terbiasa dengan kejadian berkenaan.

"Cuma kejadian yang berlaku malam semalam sangat luar biasa dan lebih menakutkan kerana ombak menghempas tambak batu dan jalan berserta sampah sarap.

"Sudah lima tahun tidak berlaku angin kencang seperti itu dan ia memang mencemaskan kerana bimbang atap rumah diterbangkan angin," katanya.

Tambahnya, kejadian itu lebih menakutkan kerana ada kenderaan yang masih lalu lalang di jalan Pantai Miami itu ketika fenomena itu berlaku.

"Sepatutnya pihak berkuasa bertindak awal dengan menutup laluan berkenaan daripada sebarang kenderaan.

"Lebih sejam laluan itu digunakan untuk ke Jambatan Angkat dan 99 peratus daripadanya diyakini bukan penduduk setempat.

"Penduduk di Kampung Seberang Takir tidak melalui jalan itu kerana sudah sedia maklum dengan kejadian berkenaan tetapi orang luar yang tidak tahu melaluinya dan ia membahayakan keselamatan mereka, " katanya.

Berita berkaitan:

  • Orang ramai diminta hindari kawasan pantai
  • Jalan pesisir 'Pantai Miami' ditutup
  • Pantai Miami dicemari sampah [METROTV]
  • Fenomena air laut pasang besar di Terengganu [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2021 @ 5:20 PM