Siti Rohana Idris


SERAMAI 17 individu termasuk empat wanita ditahan ketika sedang berhibur dalam keadaan khayal di sebuah inap desa di Kubang Kerian, Kota Bharu, hari ini.

Dalam serbuan pada 3.15 pagi oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, kesemua yang ditahan mengenakan pakaian santai termasuk berbaju tidur.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, ketika serbuan dibuat, kesemua mereka sedang berhibur diiringi bunyi muzik yang kuat.

"Pemeriksaan di sebuah bilik menemui satu bungkusan plastik syarikat kurier dalam almari yang mengandungi sejumlah peket berisi pil ekstasi.

"Kita percaya mereka yang berusia 18 hingga 35 tahun sedang khayal akibat pengambilan pil berkenaan untuk berhibur.

"Hasil siasatan lanjut juga mendapati inap desa berkenaan disewa pada harga RM350 sehari oleh seorang daripada individu itu yang juga pengedar pil berkenaan yang diambil dari Klang, Selangor," katanya ketika sidang media di IPK Kelantan, Kota Bharu.

Abdullah berkata, pihaknya merampas sebanyak 600 biji pil ekstasi dianggarkan bernilai RM18,000.

Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua yang ditahan positif methampethamine.

"Permohonan reman dibuat terhadap semua suspek selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 29 Julai ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952

"Mereka juga disiasat atas kesalahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di bawah Peraturan 10 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya.

GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2020 @ 7:36 PM