POLIS dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Kedah menyerbu pusat hiburan kerana melanggar PKPP dan beroperasi secara haram. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
POLIS dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Kedah menyerbu pusat hiburan kerana melanggar PKPP dan beroperasi secara haram. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my

Langkawi: Taktik dua pusat hiburan di Pekan Kuah, di sini, yang menggunakan pintu belakang untuk beroperasi secara haram berakhir apabila diserbu polis kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.

Serbuan dilakukan pada 2 pagi oleh sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah selepas menerima maklumat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Sapii Ahmad berkata, seramai 30 individu membabitkan 25 lelaki dan lima wanita berusia 23 hingga 58 tahun ditahan untuk siasatan.

Menurutnya, pihaknya yang menerima maklumat melakukan serbuan ke atas dua premis itu dan menahan kesemua individu berkenaan yang sedang berhibur.

"Hasil pemeriksaan mendapati pengunjung yang datang ke pusat hiburan itu tidak mengamalkan penjarakan sosial dan melanggar prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan ketika PKPP ini.

"Malah, seramai 19 daripada 30 pengunjung turut didapati positif dadah berdasarkan saringan ujian air kencing yang dijalankan," katanya.

Menurutnya, pusat hiburan terbabit dipercayai menggunakan modus operandi sama iaitu membuka bahagian belakang premis, manakala bahagian depan ditutup bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Kesemua mereka dikompaun RM1,000 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (2020), manakala 19 individu yang didapati positif dadah disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Manakala, pemilik premis diambil tindakan mengikut Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Kedah 1997," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2021 @ 5:38 PM