Zuliaty Zulkiffli

Jitra: Sembilan individu termasuk seorang remaja perempuan berusia 16 tahun ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kegiatan parti liar di sebuah inap desa di Jalan Impian, di sini, hari ini.

Serbuan dilakukan jam 3 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah di kediaman dua tingkat itu.

Ketika serbuan dilakukan, kesemua suspek iaitu enam lelaki dan tiga perempuan berusia 16 hingga 24 tahun itu didapati sedang berhibur dengan bunyi muzik kuat bersama pasangan masing-masing yang turut didapati positif dadah.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, inap desa itu dipercayai disewa mereka hanya untuk melakukan kegiatan parti liar ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berkuat kuasa pada waktu ini.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, rumah itu disewa sejak dua hari lalu oleh seorang daripada mereka dengan kadar sewa RM400 sehari.

ANGGOTA polis Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), IPK Kedah menahan sekumpulan remaja dalam pesta liar yang diadakan di sebuah inap desa di Bandar Darulaman, Jitra. FOTO Luqman Hakim Zubir
ANGGOTA polis Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), IPK Kedah menahan sekumpulan remaja dalam pesta liar yang diadakan di sebuah inap desa di Bandar Darulaman, Jitra. FOTO Luqman Hakim Zubir

"Kita dapati ada di antara mereka adalah pelajar yang berusia 16 tahun.

"Hasil soal siasat, kesemua suspek mengaku menyewa inap desa itu untuk dijadikan sebagai lokasi parti liar disebabkan pusat hiburan masih belum beroperasi selain menyangka kawasan kediaman itu selamat dari diserbu pihak berkuasa kerana mempunyai pengawal keselamatan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Kamarul Zaman berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis amphetamine.

Beliau berkata, semua suspek direman membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kesemua mereka dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana melanggar peraturan yang ditetapkan," katanya.

Kamarul Zaman menasihatkan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kegiatan parti liar atau mendengar muzik yang mencurigakan di kawasan perumahan atau tempat tinggal mereka supaya menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Ogos 2021 @ 3:15 PM