Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Samadi Ahmad


Putrajaya: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan menamatkan permohonan baharu bagi pengeluaran lesen import rokok bermula awal Januari ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, hanya pemegang lesen import rokok sedia ada masih boleh membuat pembaharuan lesen mereka.

Menurutnya, tindakan itu bertujuan memperketat pembaharuan lesen import rokok dan syarat tambahan pengimportan yang perlu dipatuhi dengan kuantiti minimum dalam tempoh 12 bulan.

"Semua aktiviti transhipment rokok, produk tembakau, peranti rokok elektronik dan bukan elektronik termasuk vape serta cecair/gel tanpa nikotin hanya dibenarkan beroperasi di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Utara di Selangor bermula awal Januari ini.

"Selain di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor; Pelabuhan Sandakan di Sabah dan di Pelabuhan Senari, Sarawak," katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Abdul Latif berkata, aktiviti transhipment perlu menggunakan kontena ISO dimuatkan secara Full Container Load (FCL), manakala aktiviti pecah pukal (break bulk) tidak dibenarkan.

Menurutnya, aktiviti transit bagi tujuan eksport melalui jalan darat dibenarkan dengan mematuhi lima syarat ditetapkan JKDM.

Katanya, rokok yang dieksport perlu melalui lima pelabuhan transhipment yang ditetapkan, manakala perjalanan dari pelabuhan berkenaan perlu terus ke destinasi terakhir di luar negara.

"Pengeskport juga perlu mematuhi peruntukan Akta Kastam 1967, Peraturan-Peraturan Kastam 2019 dan dasar jabatan yang sedang berkuat kuasa.

"Aktiviti transhipment dan eksport semula rokok keluar negara, produk tembakau, peranti rokok elektronik dan bukan elektronik termasuk vape serta cecair/gel tanpa nikotin menggunakan bot-bot kecil termasuk bot kumpit juga akan berkuat kuasa, awal tahun depan," katanya.

Menurutnya, cukai dengan kemudahan pulang balik (drawback) akan dikenakan ke atas semua rokok, produk tembakau, peranti rokok elektronik dan bukan elektronik termasuk vape serta cecair/gel tanpa nikotin yang diimport bagi tujuan eksport semula keluar negara, namun hanya dibenarkan di Zon Bebas tertakluk kepada syarat.

Katanya, tindakan itu selaras dengan Seksyen 93 Akta Kastam 1967 menyatakan pengeksportan semula ke luar negara hendaklah dibuat dalam tempoh tiga bulan dari tarikh pembayaran duti/cukai.

"Tuntutan pulang balik boleh dibuat dalam tempoh tiga bulan dari tarikh pengeksportan semula ke luar negara.

"Cukai ke atas rokok, produk tembakau, peranti rokok elektronik dan bukan elektronik termasuk vape serta cecair/gel tanpa nikotin di semua Pulau Bebas Cukai (Langkawi, Labuan, Tioman dan Pangkor) dan Zon Bebas (Perniagaan Runcit) juga akan dilaksanakan bermula awal Januari 2021.

"Kelayakan pengecualian duti kepada pelancong/pelawat ke atas rokok dan produk tembakau tidak lagi terpakai mulai 1 Januari 2021 di Zon Bebas (Perniagaan Runcit) yang terlibat di bawah Seksyen 6A Akta Zon Bebas 1990," katanya.

Zon Bebas terbabit terdiri dari Kawasan Bebas Cukai Stulang Laut, Johor; Rantau Panjang, Pengkalan Kubor, Kelantan dan Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Menurutnya, baki rokok dan produk tembakau yang diimport ke Pulau Bebas Cukai (PBC) dan Zon Bebas (Perniagaan Runcit) sebelum 1 Januari depan boleh disimpan atau dimiliki atau dijual mahupun dilupuskan di PBC serta Zon Bebas (Perniagaan Runcit).

"Manakala, bagi baki rokok berlabel setem cukai merah (MDNP) dan produk tembakau yang masih belum dibayar duti atau cukai yang hendak dibawa keluar ke kawasan utama kastam (KUK) perlu dijelaskan duti atau cukai terlebih dahulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2020 @ 1:31 PM