ANTARA dadah seberat 129.98kg yang dirampas pihak berkuasa.
ANTARA dadah seberat 129.98kg yang dirampas pihak berkuasa.
NOOR Rashid (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam empat serbuan termasuk operasi khas di sempadan.
NOOR Rashid (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam empat serbuan termasuk operasi khas di sempadan.
Oleh Asmah Rusman

Kuala Lumpur: Lagi kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING). Kali ini pasukan itu menumpaskan sindiket dadah didalangi warga Nigeria dan satu sindiket dadah di sempadan Malaysia-Thailand dengan merampas 129.98 kilogram dadah jenis syabu dan ganja bernilai RM1.5 juta.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, dalam serbuan itu, sembilan suspek terdiri daripada tiga lelaki tempatan, tiga lelaki warga Nigeria, pasangan warga Iran dan seorang lelaki warga Thailand berusia antara 19 dan 58 tahun ditahan.

“Empat serbuan dilakukan di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah itu adalah hasil maklumat orang awam yang curiga dengan aktiviti kumpulan berkenaan selain risikan dijalankan pasukan JSJN di lokasi sasaran penyeludupan sindiket dadah ke negara ini.

“Sehingga kini, pemantauan masih dijalankan termasuk mengenal pasti keldai dadah di lapangan terbang antarabangsa, syarikat kurier, pelabuhan laut yang menjadi lokasi dadah selalu disorok dalam barangan yang diimport masuk dan pintu sempadan Malaysia-Thailand,” katanya.

Katanya, dalam serbuan pertama pada 4 Disember lalu kira-kira jam 3.15 petang, tiga lelaki warga Nigeria ditahan di sekitar Taman Sri Mentari, Petaling Jaya dan merampas dadah jenis syabu seberat 1.02 kilogram yang disorokkan dalam peralatan AC/Adapter dan mesin pengira wang.

Katanya, bungkusan dadah itu dihantar dari Yuexiu, China menggunakan syarikat perkhidmatan kurier di Petaling Jaya.

Serbuan kedua pada 5 Disember jam 1.35 tengah hari dilakukan di pejabat bagasi tidak dituntut di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dadah jenis syabu seberat 3.4 kilogram berjaya dirampas.

“Dadah itu disorok di dalam ruangan bawah beg yang diubah suai dan dipercayai dihantar dari Doha ke Kuala Lumpur melalui Syarikat Penerbangan Qatar Airways.

“Serbuan ketiga pada 6 Disember pada jam 7.45 petang, pasangan warga Iran ditahan selepas berada di kawasan tuntutan bagasi ketibaan KLIA dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan ke atas dua bagasi suspek menemui dadah syabu seberat 6.16 kilogram yang disorokkan di ruangan bagasi bernilai RM620,000,” katanya.

Noor Rashid berkata, serbuan keempat pada 6 dan 7 Disember bermula jam 10.20 malam hingga 7.20 pagi adalah operasi khas yang dijalankan JSJN bersama STING berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah di sekitar Pulau Pinang dan Kedah.

“Tiga lelaki tempatan dan seorang warga Thailand ditahan bersama 119 ketulan mampat dadah jenis ganja seberat 119.4 kilogram yang disorokkan dalam guni beras.

“Hasil operasi itu polis berjaya menyita dua buah kereta model Honda dan Proton Saga bersama dua buah motosikal berkuasa tinggi jenis Ducati dan Aprilia, wang tunai RM7,000 serta 400 Baht Thailand,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Disember 2014 @ 8:08 AM