Dadah jenis ganja yang ditemui dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Merak, Jumaat lalu. FOTO IHSAN PDRM
Dadah jenis ganja yang ditemui dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Merak, Jumaat lalu. FOTO IHSAN PDRM
Zuliaty Zulkiffli


Kulim: Dua lelaki bertindak menyorok dadah jenis ganja dalam bungkusan plastik kurier bagi mengelak dikesan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Merak, di sini, Jumaat lalu.

Serbuan kira-kira 1 tengah hari itu dilakukan sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim berdasarkan maklumat dan risikan yang diterima.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Azizul Mohd Khairi berkata, kedua-dua lelaki berusia 22 dan 52 tahun itu ditahan selepas mereka didapati dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemui sebuah bungkusan syarikat kurier mengandungi satu ketulan mampat dadah jenis ganja dianggarkan seberat 1,260 gram bernilai RM3,906.

"Saringan ujian air kencing terhadap kedua-dua lelaki itu mendapati suspek kedua positif dadah jenis Tetra Hydrocannibol (THC), manakala suspek pertama negatif dadah.

"Dadah berkenaan berkenaan dirampas, manakala dua lelaki itu turut ditahan bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2024 @ 2:38 PM