Laporan Harian Metro, sebelum ini.
Laporan Harian Metro, sebelum ini.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Orang ramai diminta bersangka baik dan menunggu siasatan pihak berwajib selesai daripada terus mensensasikan kisah perkahwinan Illi Najwa Saddique dengan kapten skuad hoki India, Manpreet Singh Pawar.

Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Dr Nooh Gadot berkata, semua pihak harus menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang menasihatkan semua pihak supaya tidak membuat apa-apa kesimpulan dan tindakan pra matang dalam mengulas isu itu.

"Orang ramai diminta bersabar dan jangan buat spekulasi yang bukan-bukan, tunggu dahulu siasatan pihak berkuasa berhubung isu ini.

"Kita perlu junjung titah Sultan Johor yang menitahkan siasatan menyeluruh dibuat berhubung isu membabitkan perkahwinan wanita berasal dari Johor itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pra Pelancaran Aplikasi Ode Jee dan Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) Konsortium Ode Halal Asia di Bangunan Datuk Jaafar Muhammad, di sini, hari ini.

Semalam, Sultan Ibrahim dilaporkan menitahkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Jabatan Mufti Johor menyiasat status terkini agama wanita terbabit yang dilaporkan berkahwin dengan pemain kapten skuad hoki India itu, minggu lalu.

Baginda dilaporkan bertegas mahu keabsahan agama wanita itu disahkan melalui ahli keluarganya di sini dan menerusi maklumat daripada Kedutaan Malaysia di India.

Rabu lalu, kapten skuad hoki India, Manpreet Singh Pawar melangsungkan majlis perkahwinan dengan kekasihnya dari Malaysia, Illi Najwa Saddique.

Pasangan itu menjalinkan hubungan cinta sejak lapan tahun lalu. Majlis resepsi diadakan di kampung halaman Manpreet di Mithapur dekat Jalandhar, Punjab.

Manpreet, 28, mengenakan sut perkahwinan punjabi yang lengkap dengan serban, sementara Illi Najwa berpakaian pengantin punjabi ketika mereka bertukar ikrar perkahwinan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2020 @ 5:19 PM