ILLI Najwa dan Manpreet. FOTO arkib
ILLI Najwa dan Manpreet. FOTO arkib
Mohamed Farid Noh


Kulai: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) belum boleh mendedahkan sebarang butiran siasatan perkahwinan Illi Najwa Saddique dengan Kapten Hoki India, Manpreet Singh Pawar, yang menimbulkan kontroversi bulan lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, siasatan kes masih berjalan dan sebarang perkembangan baharu masih belum boleh dihebahkan.

"Kes Illi Najwa masih dalam siasatan JAINJ, namun butirannya masih tidak boleh diumumkan.

"Biarlah JAINJ melengkapkan siasatan berkenaan sebelum apa-apa pengumuman dibuat selepas ia diperkenankan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di kaunter terbukanya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Permai, di Bandar Putra, di sini, hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary dilaporkan berkata, siasatan kes perkahwinan itu diserahkan JAINJ.

Beliau dilaporkan berkata, masih belum ada kepastian sama ada Illi Najwa sudah kembali ke Malaysia selepas dilaporkan berkahwin dengan Manpreet bulan lalu.

Sebelum ini, kerajaan dilaporkan akan memanggil Illi Najwa bagi mendapatkan penjelasan berhubung status agama pasangan berkenaan sekiranya wanita berkenaan pulang ke negara ini.

Bulan lalu, Sultan Ibrahim turut menitahkan JAINJ dan Jabatan Mufti Johor menyiasat status terkini agama wanita berkenaan.

Manpreet melangsungkan majlis perkahwinan dengan kekasihnya dari Malaysia, Illi Najwa Disember lalu.

Pasangan itu menjalinkan hubungan cinta sejak lapan tahun lalu. Majlis resepsi diadakan di kampung halaman Manpreet di Mithapur dekat Jalandhar, Punjab.

Manpreet, 28, mengenakan sut perkahwinan punjabi yang lengkap dengan serban, sementara Illi Najwa pakaian pengantin Punjabi ketika mereka bertukar ikrar perkahwinan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 6:19 PM