SULTAN Ibrahim. FOTO Ihsan Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
SULTAN Ibrahim. FOTO Ihsan Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
BERNAMA

Johor Bahru: Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar hari ini menzahirkan rasa dukacita mengenai berita seorang wanita bangsa Johor yang didakwa melaksanakan pernikahan tidak mengikut syarak di India.

"Saya telah menitahkan agar semua usaha yang perlu, dibuat oleh pihak berkuasa Agama Islam Negeri Johor untuk memastikan keabsahan terkini status wanita tersebut sama ada melalui ahli keluarganya dan juga menerusi Kedutaan Malaysia di India.

"Saya percaya kita semua akan dapat memastikan kesahihan berita tersebut dalam tempoh terdekat," titah baginda dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook rasmi baginda.

Pada masa sama, Sultan Ibrahim menasihati semua pihak agar tidak membuat sebarang kesimpulan dan tindakan pramatang dalam menangani berita itu.

"Wanita itu sedang melalui satu proses penghakiman melalui platform media sedangkan beliau tidak pun setakat ini mengisytiharkan beliau ingin keluar daripada agama Islam," titah baginda.

Baginda juga berkeyakinan Jabatan Agama Islam Negeri Johor dan Jabatan Mufti Negeri Johor akan memberikan bantuan yang perlu kepada wanita berkenaan bagi mengekalkan akidahnya.

Sehubungan itu, Sultan Ibrahim bertitah, amat penting bagi umat Islam memiliki akal budi dan akhlak yang tinggi kerana indahnya Islam bukan sahaja pada amal ibadah tetapi juga melalui tingkah laku dan akhlak umatnya.

"Oleh itu, isu berkaitan perkahwinan warganegara Malaysia di India yang tular di media sosial baru-baru ini hendaklah ditangani dengan penuh kebijaksanaan, apatah lagi ia melibatkan hubungan di antara agama, kaum malahan dua negara.

"Marilah sama-sama kita merafakkan doa ke hadrat Allah SWT agar wanita tersebut dan pasangannya sentiasa dalam peliharaan Allah jua dan diberikan petunjuk untuk menyelesaikan isu ini dengan cahaya keimanan dan hidayah Allah SWT," titah baginda.

Baru-baru ini tular gambar dan kisah perkahwinan seorang wanita Malaysia beragama Islam dengan kapten pasukan hoki India yang dipercayai berlangsung di Mithapur dekat Jalandhar, Punjab yang membayangkan upacara dijalankan mengikut adat resam Punjabi.

Berita berkaitan

JAINJ siasat perkahwinan Illi Najwa dan Manpreet [METROTV]

Illi Najwa mohon maaf, mengaku kejahilan dia dan suami

Masih dalam siasatan

Kerajaan akan panggil Illi Najwa

Kapten hoki India kahwini gadis Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2020 @ 5:07 PM