PENDUDUK menyelamatkan barangan rumah selepas kediaman ditenggelami air di Kampung Tanjung, Bukit Mentok.  FOTO Ghazali Kori
PENDUDUK menyelamatkan barangan rumah selepas kediaman ditenggelami air di Kampung Tanjung, Bukit Mentok. FOTO Ghazali Kori
Zaid Salim


Chukai: Peningkatan angka mangsa banjir yang berlaku setiap jam menunjukkan banjir di beberapa kawasan di Terengganu semakin kritikal apabila jumlah mangsa dipindahkan melebihi 5,000 penduduk sehingga 2 petang tadi.

Keseluruhan penduduk terjejas banjir di negeri ini bertambah lebih 1,000 penduduk dalam tempoh enam jam berbanding jumlah mangsa dipindahkan 8 pagi tadi.

Rekod dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) menunjukkan 1,359 keluarga membabitkan 5,420 penduduk berada di 46 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah terjejas banjir iaitu Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu dan Setiu.

Di Kemaman, keadaan cuaca tidak hujan dan mendung, namun pertambahan mangsa di PPS tetap berlaku dengan 4,566 mangsa daripada 1,094 keluarga dipindahkan di 25 PPS.

Dua daerah iaitu Hulu Terengganu dan Dungun menunjukkan pertambahan mangsa banjir Dan PPS yang diaktifkan.

Di Hulu Terengganu, seramai 572 penduduk daripada 180 keluarga kini di tempatkan di 13 PPS, manakala mangsa yang dipindahkan di Dungun seramai 274 penduduk membabitkan 83 keluarga berada di tujuh PPS.

Ketua Sekretariat JPBN Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, trend peningkatan air sungai di beberapa daerah terutama di Hulu Terengganu dan Dungun menyebabkan dua daerah berkenaan semakin teruk terjejas banjir.

Justeru, katanya, pihaknya mengingatkan orang ramai dan penduduk berhampiran sungai dan kawasan mudah ditenggelami air sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia untuk pindah jika kawasan mereka mula dinaiki air.

"Saya meminta penduduk di kawasan berisiko banjir akur dan patuh dengan arahan pihak berkuasa dan segera berpindah jika diarah berbuat demikian bagi mengelak terperangkap dalam banjir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2020 @ 4:46 PM