LORI membawa muatan batu berlebihan berhenti selepas dua das tembakan dilepaskan ke arah tayar. FOTO ihsan Polis
LORI membawa muatan batu berlebihan berhenti selepas dua das tembakan dilepaskan ke arah tayar. FOTO ihsan Polis
Omar Ahmad


Johor Bahru: Pemandu lori membawa muatan batu berlebihan ditahan selepas memandu secara berbahaya ketika cuba meloloskan diri di kilometer 7, Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur Johor (EDL), 7.45 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, anggota Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Johor turut terpaksa melepaskan tembakan pada tayar lori dipandu lelaki berusia 31 tahun itu.

"Semasa operasi dijalankan Pasukan Polis trafik mengesan lori membawa muatan batu disyaki melebihi had.

"Anggota trafik menggunakan pembesar suara dan menyalakan lampu biru serta membunyikan siren amaran supaya pemandu lori itu memberhentikan kenderaan tetapi arahan tersebut tidak dihiraukan.

"Malah pemandu terbabit terus memecut menghala ke lorong masuk Bangunan Sultan Iskandar (BSI).

"Anggota trafik mengejar lori tersebut yang ketika itu dipandu secara berbahaya dan melakukan pemanduan secara zig-zag seterusnya menghimpit kenderaan pasukan polis dalam percubaan melarikan diri," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Mohd Padzli, tindakan pemandu lori terbabit menyebabkan polis terpaksa melepaskan dua das tembakan pada tayar lori berkenaan bagi mengelakkan kejadian lebih buruk berlaku kepada pengguna jalan raya lain.

"Sebaik sahaja pemandu itu memberhentikan kenderaannya didapati dua tayar telah pecah. Namun pemandu berkenaan terus melarikan diri tetapi berjaya ditangkap dalam jarak lebih kurang 100 meter dari lokasi kejadian.

"Suspek tiada rekod jenayah lampau tetapi mempunyai sembilan rekod saman kesalahan trafik. Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

"Punca kejadian mendapati suspek tidak mahu ditangkap oleh pihak Polis kerana membawa muatan melebihi had dan lesen kenderaan barangan GDL telah tamat tempoh," katanya.

Suspek direman bermula hari ini hingga 23 Disember.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 45 APJ 1987, Seksyen 57(3) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, Seksyen 307, Seksyen 186 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2020 @ 1:18 PM