Omar Ahmad.


Johor Bahru: Sebanyak 37 saman dikeluarkan terhadap kenderaan perdagangan atas 49 pelbagai kesalahan trafik, dalam Op Perdagangan Bersepadu bersama agensi penguatkuasaan di kilometer enam, Lebuhraya EDL, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, saman itu dikeluarkan selepas pemeriksaan dibuat ke atas 67 pemandu membabitkan 59 kenderaan perdagangan.

Katanya operasi bermula jam 7 hingga 11 pagi yang turut disertai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga mengeluarkan enam notis saman atas kesalahan bawa muatan berlebihan.

"Antara kesalahan yang dilakukan adalah tiada lesen memandu, membawa muatan berbahaya, tiada alat pemadam api, tayar botak serta tiada alat segi tiga keselamatan pada kenderaan yang ditahan.

"Turut disita sebuah lori atas kesalahan di bawah Seksyen 57 (3) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

"Seorang lelaki warga tempatan berusia 30 tahun juga ditahan kerana memandu dengan membawa muatan berlebihan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Raub, operasi ini diadakan bagi tujuan untuk menyelesaikan isu awam yang sering diterima berdasarkan aduan awam berkaitan pemandu kenderaan berat atau kenderaan perdagangan yang tidak mematuhi peraturan jalan raya dengan membawa muatan berlebihan dan muatan berbahaya.

"Operasi itu juga bertujuan mengesan pemandu-pemandu kenderaan perdagangan yang mempunyai rekod berkaitan kes jenayah dan memandu di bawah pengaruh dadah," katanya.

Operasi ini membabitkan lapan pegawai kanan dan 44 anggota yang terdiri daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Johor Bahru Selatan dengan bantuan daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPK Johor, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Johor Bahru Selatan, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Johor Bahru Selatan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Johor serta Puspakom.

JOHOR BAHRU. 26 NOVEMBER 2021. Sebanyak 37 saman atas 49 pelbagai kesalahan terhadap kenderaan perdagangan dalam Op Perdagangan Bersepadu di Lebuhraya EDL, di sini, semalam. NSTP/IHSAN POLIS

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 11:21 AM