FOTO hiasan
FOTO hiasan
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Dua mukim iaitu daerah Penggawa Kubang Kerian di Kota Bharu dan Kusial di Tanah Merah yang dilanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 20 Disember ini, dibenar mengadakan solat Jumaat, fardu serta aktiviti di masjid dan surau tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) PKPB.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, manakala bagi jajahan Kota Bharu, Pasir Mas, Tanah Merah dan Machang pula, solat Jumaat, fardu serta aktiviti di masjid, surau dan musalla dibenar beroperasi sebagaimana garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang sudah diumumkan kerajaan.

Beliau berkata, bagaimanapun semua surau dan musalla yang terletak di kawasan Madrasah Ad-Diniah, Kampung Huma, Pasir Puteh yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan Kluster Huma diarah tutup sehingga tarikh yang akan diumumkan kelak.

"Pada masa sama, arahan pelaksanaan penutupan surau dan musalla yang terletak dalam kawasan Kluster Mengketil dan Istana Negeri Kubang Kerian juga masih berkuat kuasa hingga ke suatu tarikh yang akan diberitahu.

"Perkara ini mendapat perkenan daripada Sultan Muhammad V dan Yang Dipertuan bagi Negeri Kelantan sebagai Ketua Agama Islam sebagaimana peruntukkan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan agar solat Jumaat, fardu dan aktiviti di masjid, surau dan musalla dibenarkan mengikut SOP bagi membendung penularan wabak Covid-19 di negeri ini," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, pihak MAIK mengharapkan kerjasama daripada semua pihak dalam melaksanakan ketetapan ini.


Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2020 @ 8:14 AM