Nor Amalina Alias


Pasir Puteh: Polis Kelantan akan menggunakan dron di Madrasah Ad-Diniah Al Falahiah, Kampung Dalam Huma, Bukit Awang, di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula tengah malam ini.

Peralatan itu digunakan bagi membantu pihak keselamatan memantau pergerakan pelajar dan warga pondok sekitar kawasan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat, berkata pemantauan udara itu memperkuat kawalan di kawasan berkenaan yang kini dijaga 24 jam oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Kita sedia maklum, PKPD di madrasah ini mula esok (7 Disember) tapi kita mula awal sejak semalam.

"Selain lokaliti madrasah yang mempunyai lebih 100 pelajar, penduduk kampung di kawasan sekitar juga terdedah kepada risiko jangkitan sebab datang solat dan bergaul dengan mereka," katanya ketika melakukan tinjauan di madrasah berkenaan, hari ini.

SHAFIEN (tengah) bersama Mohd Azmir (kiri) melawat kawasan Madrasah Ad-Diniah Al Falahiah. FOTO Nor Amalina Alias
SHAFIEN (tengah) bersama Mohd Azmir (kiri) melawat kawasan Madrasah Ad-Diniah Al Falahiah. FOTO Nor Amalina Alias

Beliau berkata, dianggarkan 200 hingga 300 individu berada di lokaliti berkenaan.

Katanya, setakat ini, pihaknya membuat tiga sekatan polis di kawasan kampung berkenaan, selain memasang kawad duri jika diperlukan.

Beliau berkata, sehingga kini kesemua pelajar dan pengajar madrasah sudah menjalani ujian calitan dan menunggu keputusan daripada KKM.

"Seramai 72 pelajar sudah disaring manakala 55 pelajar dibawa keluar untuk pemeriksaan lanjut," katanya.

Dalam perkembangan sama, Shafien turut menasihatkan masyarakat supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) meskipun kerajaan memutuskan menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa kawasan termasuk Kelantan serta negeri lain seperti Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Johor, Putrajaya dan Labuan.

"Kita kena ingat, kita masih kena PKPB di daerah Kota Bharu, Machang, Tanah Merah dan Pasir Mas sehingga 20 Disember ini, dan SOP masih perlu dipatuhi di kedai makan, pasar raya dan tempat awam," katanya.

Sehingga kini, 55 kes positif Covid- 19 direkodkan di madrasah itu membabitkan remaja dan warga emas dalam Kluster Huma.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2020 @ 3:10 PM