FOTO hiasan
FOTO hiasan
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Sri Ledang, Tangkak, Muar, akan dijadikan Pusat Kuarantin Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) yang baharu di negeri ini.

Ia adalah PKRC kedua di negeri ini, selepas PKRC di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), mula beroperasi hari ini.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, ia sebagai persediaan kerajaan Johor dalam berhadapan jumlah pesakit positif yang semakin menunjukkan peningkatan.

"Jumlah katil dan kemudahan yang bakal disediakan di Kem PLKN Sri Ledang itu, belum dimuktamadkan kerana masih lagi dalam perbincangan dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

"PKRC di Stadium MBPG pula mempunyai kapasiti 1,200 katil termasuk kemudahan tandas dan bilik mandi, dan ia dibangunkan mengikut konsep PKRC Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media secara maya yang diadakan hari ini.

Mengulas lanjut, Hasni berkata, pengoperasian PKRC berkenaan memudahkan kerajaan Johor dan agensi termasuk Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menguruskan individu disahkankan positif Covid-19 dengan lebih tersusun dan menyeluruh.

"Di Pasir Gudang ini (PKRC Stadium Tertutup MBPG) bukan sahaja PKRC tetapi juga mempunyai kemudahan untuk Pusat Penilaian Covid-19 (CAC).

"Ia bagi membolehkan supaya saringan dapat dibuat dengan lebih meluas sebelum mereka (pesakit Covid-19) dihantar sama ada terus berada di rumah sebagai untuk tahap satu dan dua, manakala tahap tiga, empat dan lima boleh dihantar ke pusat perubatan hospital kerajaan atau swasta selepas saringan dibuat," katanya.

Hasni berkata, dengan adanya PKRC Stadium Tertutup MBPG dan Kem PLKN Sri Ledang, Johor masih mampu menampung dan merawat pesakit positif Covid-19 yang meningkat.

"Kalau mengikut jangkaan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) atau JKNJ), Johor masih boleh mengurus dan kita tidak ada masalah pada waktu ini untuk menerima mereka yang memerlukan rawatan selepas didapati positif Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2021 @ 5:12 PM