Omar Ahmad


Johor Bahru: Kluster Tembok Gajah di Penjara Kluang terus merekodkan peningkatan kes Covid-19 dengan 597 banduan dan 35 kakitangan penjara serta keluarga mereka dikesan positif wabak itu, setakat semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R Vidyananthan berkata, tindakan pencarian kes secara aktif (ACD) oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) masih dilakukan dengan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di penjara itu sejak 19 Disember lalu.

"Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) telah diwujudkan di dalam Kompleks Penjara Kluang bagi merawat pesakit Covid-19 tanpa gejala dan gejala ringan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di asrama pekerja Westlite, di Taman Perindustrian Tampoi Jaya, di sini, susulan peningkatan kes Covid-19 yang dilaporkan dalam kalangan penghuni di situ.

"Sehingga semalam, terdapat 115 kes positif daripada 3,116 penghuni di asrama itu.

KOMPLEKS Penjara Kluang. FOTO arkib NSTP
KOMPLEKS Penjara Kluang. FOTO arkib NSTP

"PKPD ini akan berkuat kuasa bermula hari ini sehingga 8 Januari depan. PKPD ini membabitkan 231 unit rumah," katanya.

Setakat semalam terdapat 205 kes baharu yang dilaporkan di Johor.

Ia membabitkan 153 kes daripada kluster sedia ada, 37 kes daripada saringan kontak rapat kes Covid-19 dan 15 kes daripada lain-lain saringan Covid-19.

Ini menjadikan kumulatif kes Covid-19 yang dilaporkan sebanyak 4,026 kes dengan 21 Kluster aktif di Johor.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Disember 2020 @ 3:42 PM