ANGSANA Johor Bahru Mall. FOTO arkib NSTP
ANGSANA Johor Bahru Mall. FOTO arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Pusat beli-belah, Angsana Johor Bahru Mall, di sini, diarah melanjutkan penutupan sementaranya, seminggu lagi sehingga 20 Disember ini.

Tarikh akhir penutupan sementara pusat beli-belah itu pada 14 Disember selepas Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengeluarkan notis penutupan pada 7 Disember lalu akibat penularan wabak Covid-19 di premis berkenaan.

Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu berkata, notis penutupan sementara baharu itu dikeluarkan JKNJ kelmarin.

"Arahan penutupan seminggu lagi sehingga 20 Disember ini diputuskan JKNJ selepas menilai risiko penularan wabak dan situasi semasa.

"Masih terdapat kes aktif Covid-19 dalam kalangan pekerja pusat beli-belah berkenaan dan ada premis yang belum membuat saringan ujian calitan pekerja seperti yang diarahkan.

"Pembukaan awal Angsana Mall Johor Bahru hanya boleh dipertimbangkan selepas semua pekerja menjalani saringan dan tiada pertambahan kes di kalangan pekerja yang boleh memungkinkan berlaku penularan semula," katanya ketika dihubungi.

Pada 7 Disember lalu, media melaporkan Angsana Mall Johor Bahru diarah tutup tujuh hari bermula jam 8 malam hari berkenaan sehingga 14 Disember, berikutan penularan wabak Covid-19 di premis berkenaan.

Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu, dilaporkan berkata, arahan itu belah itu diputuskan JKNJ selepas menilai risiko penularan wabak dan situasi semasa.

Sehubungan itu, Dr Aman dilaporkan berkata, semua pekerja dan kakitangan bertugas di pusat beli-belah itu turut diarahkan menjalani saringan Covid-19 sukarela bagi mengekang penularan wabak berkenaan ke dalam komuniti.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dilaporkan berkata, kluster baharu, Kluster Jalan Tampoi dikesan di Johor Bahru dan sudah menjangkiti 17 individu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2020 @ 3:25 PM