DR Noor Hisham. FOTO BERNAMA
DR Noor Hisham. FOTO BERNAMA
Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Semua pengundi termasuk mereka yang disahkan dijangkiti Covid-19 perlu mematuhi langkah am ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan proses pengundian lancar dan selamat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, petugas kesihatan juga ditempatkan di pusat mengundi bagi membantu melicinkan urusan pengundian bagi pengundi yang positif Covid-19.

"Semua pengundi yang layak akan keluar mengundi pada 19 November.

"Beberapa langkah am perlu diambil bagi memastikan proses pengundian berjalan dengan selamat dan mengurangkan risiko jangkitan kepada pengundi lain serta petugas di pusat pengundi," katanya tadi.

Justeru, Dr Noor Hisham berkata, semua pengundi yang bakal melaksanakan tanggungjawab mereka pada Sabtu depan diingatkan untuk mematuhi arahan petugas kesihatan ketika berada di tempat mengundi.

Pada masa sama, beliau berkata, KKM turut mengeluarkan poster pematuhan kesihatan yang boleh dipatuhi setiap pengundi.

"Ia turut dimuat naik ke laman sosial KKM untuk dijadikan panduan. Antara lain mewajibkan pengundi yang positif Covid-19 untuk sentiasa mengenakan pelitup muka ketika menjalankan tanggungjawab masing-masing.

"Pengundi lain pula amat digalakkan untuk juga mengenakan pelitup muka sepanjang berada di pusat pengundian.

"Pengundi yang positif juga perlu menggunakan kenderaan sendiri untuk pergi dan kembali dari pusat pengundian. Mereka dilarang mengambil kenderaan awam atau perkhidmatan e-hailling," katanya.

Selain itu, mereka hanya boleh ke tempat pengundian dan tidak singgah ke tempat lain ketika pergi atau pulang dari pusat pengundian.

"Pesakit Covid-19 perlu pulang terus ke rumah masing-masing untuk meneruskan isolasi selepas mereka mengundi.

"KKM juga menyarankan supaya pengundi yang positif Covid-19 untuk sentiasa memastikan tangan mereka dibersihkan dengan pensanitasi di tempatyang dikenalpasti semasa mengundi serta digalakkan membawa cecair sanitasi sendiri. Mereka juga perlu menjaga jarak sepanjang berada di pusat pengundian.

Nasihat sama juga digalakkan kepada pengundi lain yang negatif Covid-19," katanya.

Pengundi di Malaysia bakal melaksanakan tanggungjawab mereka di Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada Sabtu ini.

Turut diadakan adalah tiga Pilihan Raya Negeri (PRN) di Perlis, Pahang dan Perak dan satu Pilihan Raya Kecil (PRK) Bugaya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2022 @ 4:39 PM