ABDUL Ghani pada sidang media sempena Proses Penamaan Calon PRN Melaka. FOTO Bernama
ABDUL Ghani pada sidang media sempena Proses Penamaan Calon PRN Melaka. FOTO Bernama
Ahmad Suhael Adnan


Melaka: Individu positif Covid-19 dan menjalani kuarantin di rumah atau hospital tidak dibenarkan mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, kawalan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat akan dilaksanakan pada hari pengundian bagi mengawal risiko penularan Covid-19.

Katanya, semua pengundi perlu menjalani saringan dan imbasan suhu badan di pintu masuk pusat mengundi dan mereka yang bergejala atau suhu badan melebihi 37.5 darjah Celsius akan diasingkan dalam khemah khas.

"Semua pengundi perlu mematuhi SOP asas seperti saringan suhu badan, sanitasi tangan, memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal di pusat pengundian.

"Jika ada individu bergejala atau suhu badan melebihi 37.5 darjah Celsius, kita asingkan mereka di dalam khemah bergejala dan ada petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang akan membantu mereka mengundi dan melakukan ujian Covid-19.

"Namun, individu yang memang sudah positif Covid-19 dan dikuarantin di hospital dan sebagainya tidak dibenarkan mengundi kerana KKM tidak membenarkan mereka keluar," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

SOP Pencegahan Covid-19 PRN Melaka di portal SPR memaklumkan, pengundi yang positif virus itu tidak dibenarkan keluar dari tempat mereka sedang menerima rawatan untuk mengundi kerana berisiko membawa jangkitan kepada awam.

Pengundi berstatus pesakit dalam siasatan (PUI) dan individu dalam pemantauan (PUS) yang ingin mengundi pula perlu memohon kebenaran Pegawai Kesihatan Daerah di Pejabat Kesihatan Daerah yang mengawasi Arahan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian itu untuk keluar sementara ke pusat mengundi.

Kebenaran itu tertakluk kepada penilaian risiko jangkitan oleh Pegawai Kesihatan Daerah berkenaan dan pengundi perlu mematuhi semua garis panduan yang ditetapkan KKM.

Abdul Ghani turut memberi jaminan kepada pengundi SOP yang digariskan mencukupi untuk menjamin keselamatan mereka dan mengelak jangkitan Covid-19 di pusat pengundian.

"Kepada pengundi, jangan bimbang. Setakat pilihan raya yang kita laksanakan sehingga hari ini, termasuk di Sabah, tiada kes Covid-19 di pusat pengundian.

"Jadi, pengundi tidak perlu bimbang dan boleh keluar menjalani proses mengundi pada hari berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 4:10 PM