SUASANA di Batu 8, Teluk Kemang, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
SUASANA di Batu 8, Teluk Kemang, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Pantai Teluk Kemang yang sunyi sejak pandemik Covid-19 pertengahan Mac lalu, kini mulai sibuk dengan pengunjung selepas kerajaan memberi kebenaran merentas negeri baru-baru ini.

Tinjauan NSTP mendapati keadaan namun tidaklah terlalu sesak seperti sebelum ini dan peniaga sudah boleh tersenyum lebar.

Menurut peniaga pisang goreng, Rosnah Alias, 36, kalau sebelum ini dia bergantung kepada orang tempatan tetapi bermula semalam, semakin ramai pengunjung luar yang datang ke pantai Port Dickson.

"Sememangnya ramai peniaga terkesan akibat halangan merentas negeri dan pendapatan kami amat menyedihkan berbanding sebelum virus pembunuh ini berleluasa.

"Saya amat berharap agar tahun hadapan keadaan kembali pulih dan sektor pelancongan dapat beroperasi seperti biasa kerana ia membabitkan banyak pihak daripada peniaga kecil hingga besar dan merugikan negara," kata ibu kepada lima anak berusia tiga tahun hingga 16 tahun.

Bagi peniaga kedai makan, Mohamad Ali, 49, berkata, kedainya baru sebulan dibuka sejak ditutup April lalu kerana pekerjanya balik ke negara asal.

"Saya terpaksa menukar konsep perniagaan kerana tukang masak dari negara jiran tidak dapat balik atas kengkangan sejak Covid-19 melanda negara.

"Saya menukar menu makanan kepada konsep Melayu dan keadaan tetap tidak mendapat sambutan tetapi hari ini keadaan sudah nampak perubahan. Orang semakin ramai daripada biasa mungkin kerana sudah dibenarkan merentas negeri," katanya.

Sementara itu, pengunjung Mariani Ismail, 33, datang dari Kuala Lumpur bagi menghilangkan rasa bosan dua anaknya berusia empat dan tujuh tahun kerana terkurung di dalam rumah.

"Alhamdulillah, tahun ini baru dapat bawa anak saya mandi laut kerana tidak berpeluang melakukannya akibat kengkangan keadaan semasa.

"Harapan saya kita pulihkan kembali industri pelancongan dan dalam masa yang sama kita kena berdisiplin menjaga prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan penularan lebih teruk lagi," kata pekerja swasta ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2020 @ 5:17 PM