SEBAHAGIAN blok konkrit penghadang ombak di Pantai Teluk Kemang yang pecah dan berselerakan di kawasan pantai membahayakan pengunjung. FOTO Mohd Amin Jalil
SEBAHAGIAN blok konkrit penghadang ombak di Pantai Teluk Kemang yang pecah dan berselerakan di kawasan pantai membahayakan pengunjung. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Port Dickson: Konkrit penambakan pantai di Pantai Teluk Kemang di sini, yang runtuh dan pecah dibimbangi mengancam keselamatan pengunjung di pantai peranginan itu.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Nasir Raman berkata, runtuhan itu dikesan di kawasan pantai dua dan tiga Teluk Kemang dipercayai akibat ombak kuat.

"Kejadian itu dikesan berlaku sejak dua minggu lalu dan besi pengikat bersama batu konkrit berkenaan didapati pecah serta berselerakan di sekitar kawasan pantai.

"Keadaan itu membahayakan pengunjung malah dilaporkan ada yang sudah cedera kerana terpijak atau tersepak serpihan konkrit itu," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, perkara itu sudah dimaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan dan kerajaan negeri untuk diambil tindakan segera memandangkan pantai berkenaan adalah antara lokasi tumpuan pengunjung tempatan dan luar.

"Saya berharap pihak berwajib dapat memperbaiki kerosakan itu secepat mungkin demi kepentingan dan keselamatan orang ramai serta pengunjung," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Mohd Zamri Mohd Esa ketika dihubungi, berkata konkrit penambakan pantai itu di bawah tindakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

"Dalam kejadian air pasang besar dan angin kuat baru-baru ini telah menyebabkan kawasan pasir terhakis.

"Ia perlu dibuat penambakan dengan kadar segera. Pihak MPPD telah membersihkan sisa-sisa runtuhan konkrit sebagai langkah keselamatan kepada pengunjung pantai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 January 2022 @ 12:56 PM