MENINJAU pemandangan dari aras mata burung di Gunung Keriang, Alor Setar.
MENINJAU pemandangan dari aras mata burung di Gunung Keriang, Alor Setar.
Hafiz Ithnin


Bagi lelaki berusia 34 tahun ini bukan sesuatu yang asing untuk berkunjung ke negeri-negeri di Semenanjung Malaysia kerana terdapat pelbagai lokasi percutian yang menarik.

Justeru, tidak hairan Asyraf Maskan bersama rakan-rakannya memanfaatkan waktu senggang selama empat hari untuk menerokai beberapa lokasi percutian menarik di lokasi berkenaan terutamanya di Kedah dan Perlis.

Berkongsi cerita dengan penulis, Asyraf berkata, dia dan tiga rakannya mengunjungi beberapa lokasi menarik di dua negeri itu kerana menyantuni jemputan rakan yang mendirikan rumah tangga di Kodiang, Kedah.

Katanya, alang-alang sudah berada di Kodiang sudah pasti kunjungan ke Yan, Merbok dan Alor Setar tidak dilepaskan. Kemudiannya, tidak lengkap pula jika tidak bertandang ke Kangar, Perlis.

"Usai sahaja memenuhi jemputan majlis berkenaan, saya dan rakan-rakan terus menaiki kenderaan ke Dataran Tasik Timah Tasoh di Perlis.

"Di sana kami menaiki bot mengelilingi tasik buatan yang terbesar di Kangar itu. Dengan bayaran RM50 untuk satu bot, kami tidak hanya dibawa mengelilingi tasik itu tapi turut berada di tengah-tengah tasik Timah Tasoh," katanya.

Uniknya di lokasi itu, terdapat banyak bunga teratai yang terapung, seakan sebuah pulau. Selain itu, bot juga berhenti untuk menikmati pemandangan berlatarkan Bukit Cabang dan Banjaran Nakawan yang bersempadan dengan Thailand.

"Kami merakam beberapa gambar untuk kenangan. Ternyata di sini terasa seperti di bumi asing yang begitu menarik dengan keindahan alam semula jadinya.

"Terutama apabila bot berada di tengah-tengah tasik, pemandangan banjaran serba menghijau dan kicauan unggas begitu terasa tenang. Rasanya amat berbaloi dengan bayaran menaiki bot itu walaupun ia hanya mengambil masa sekitar tiga jam," katanya.

Katanya, pada hari kedua, dia dan rakan-rakan menuju ke kedai kopi unik terletak di Gua Tau Adventure Park, Kangar.

PEMANDANGAN Gunung Keriang atau juga dipanggil Batu Gajah.
PEMANDANGAN Gunung Keriang atau juga dipanggil Batu Gajah.

Di kedai itu, pelanggan turut 'dihidangkan' dengan suasana di dalam gua bertepatan dengan geografi Perlis yang dominan dengan batu kapur.

"Terdapat juga aktiviti mendaki tebing batu dan meneroka gua yang boleh dilakukan jika berkesempatan. Selain itu, kami juga menuju ke Bukit Keteri di Kangar yang mendapat jolokan Mata Timur kerana Bukit Keteri adalah sebuah tempat yang tepat untuk menikmati senja di bumi Indera Kayangan.

"Tetapi untuk berada di Mata Timur, kami harus melalui laluan denai dan sedikit mendaki laluan batu kapur. Sebenarnya di situ adalah tempat permulaan aktiviti mendaki tebing batu," katanya.

Namun, pengunjung diingatkan untuk berhati-hati kerana laluan berbatu di situ agak licin. Pemandangan senja di Mata Timur amat ajaib dengan percikkan warna jingga kelihatan dari jendela gua yang berbentuk seperti mata.

"Kami menghabiskan masa menikmati pemandangan hingga matahari tenggelam. Menuruni Bukit Keteri dalam keadaan gelap memerlukan bantuan lampu kepala.

"Meskipun perlu turun dalam keadaan gelap tetapi rasa amat puas melihat panorama magis ketika matahari terbenam," katanya.

PERSEKITARAN Masjid Zahir.
PERSEKITARAN Masjid Zahir.

Katanya, ketika mengunjungi Perlis, mereka juga berkesempatan mendaki ke puncak Gunung Keriang setinggi 218 meter dari aras laut.

"Mitos cerita Gunung Keriang sebenarnya membawa kami untuk mendaki puncak gunung ini. Menurut cerita, Gunung Keriang dulunya adalah seorang lelaki yang bernama Mat Raya. Mat Raya adalah seorang pahlawan tempatan yang sangat kuat dan bijaksana.

"Pendakian memakan masa hanya satu jam 30 minit. Dari puncak, kami disajikan dengan pemandangan bendang menghijau.

"Faktor geografi mengubahnya menjadi daratan dan bukit-bukaunya adalah kawasan tinggi dalam laut," katanya.

Lebih menarik, mereka juga berkesempatan menunaikan solat Jumaat di masjid tertua di Kedah, Masjid Zahir. Rata-rata jemaah solat Jumaat di masjid ini adalah majoriti orang tempatan yang dapat dilihat melalui dialek utara mereka.

"Masjid yang berkubah hitam ini dikatakan mendapat ilham daripada sebuah masjid yang terdapat di Kalimantan yang juga berkubah hitam.

"Arkitektur masjid ini dipengaruhi seni bina Mugal jika dilihat daripada arch dan batuan yang mendominasi dalam ruang interior dewan solat utama. Tapak masjid ini juga dikatakan adalah tapak makam pahlawan Kedah yang gugur dalam serangan Siam," katanya.

Tambahnya, mengikut sejarahnya juga bangunan masjid yang baru ini dibina bagi menggantikan masjid lama beratap nipah pada ketika itu.

AIR Terjun Seri Perigi yang cukup mendamaikan.
AIR Terjun Seri Perigi yang cukup mendamaikan.

"Selesai solat Jumaat, hujan agak lebat menyebabkan kawasan keliling Masjid Zahir perlahan-lahan dinaiki air dari sungai. Antara keunikan masjid Zahir ialah lokasinya di tepi tebing sungai yang juga mungkin menjadi nadi pengangkutan utama masyarakat pada ketika itu.

"Lokasi strategik ini membolehkan orang tempatan yang menggunakan sampan atau bot berhenti di jeti kecil untuk menunaikan solat di Masjid Zahir. Oleh kerana hujan, kami menghabiskan waktu yang agak lama di masjid Zahir pada hari itu," katanya.

Pada hari seterusnya seawal jam 8 pagi mereka meneruskan perjalanan menuju ke Air Terjun Seri Perigi yang terletak di Yan. Jalan masuk untuk ke sini berhampiran dengan jalan masuk menuju ke Gunung Jerai.

"Jalan masuk pendakian ke air terjun Seri Perigi ini mudah dicari dan laluan pendakian hanya memakan masa lebih kurang 30 minit. Oleh kerana itu, tempat ini sudah pun dikenali dan dikunjungi orang tempatan. Namun mungkin musim hujan, hanya kami bertiga yang berada di kolam yang menghidangkan pemandangan sawah padi. Namun, pemandangan agak berkabus oleh kerana hujan renyai.

"Air terjun yang memiliki ketinggian hampir empat meter ini mengalir daripada puncak Gunung Jerai menjadikan agak berbahaya sekiranya terjadi kepala air," katanya.

Tambahnya, pada musim kemarau, air terjun dan kolam boleh menjadi kering dan tidak sesuai lagi untuk bermandi-manda. Pemandangan ikonik air terjun dan pemandangan sawah padi menjadi tarikan yang ada di sini.

"Bagi saya dan rakan-rakan meskipun hanya empat hari berada di dua negeri ini tetapi merasa cukup puas kerana bukan sahaja dapat menikmati pemandangan alam semula jadi yang menarik dan memukau, malah dapat menimba pengetahuan mengenai sejarah di beberapa lokasi yang dilawati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 7:01 AM