GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Sekurang-kurangnya lima kes kemalangan yang berpunca daripada infrastruktur atau jalan yang tidak diturap sempurna dilaporkan setiap hari di seluruh negara.

Ia antara aduan diterima Persatuan Mangsa Kemalangan Jalan Raya Malaysia sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 awal bulan lalu.

Pengasasnya Azlan Sani Zawawi berkata, antara punca dikenal pasti adalah penggunaan tar kurang berkualiti yang menyebabkan jalan pecah atau berlubang sehingga membahayakan pengguna jalan raya.

Katanya, pihaknya juga menerima maklum balas daripada kontraktor mengenai perkara itu.

"Kita difahamkan bahan yang digunakan juga tidak sempurna akibat kuari yang tidak dibenarkan beroperasi sepanjang PKP.

"Akibatnya pengguna menjadi mangsa apabila mengalami kecederaan. Keadaan ini perlu ditangani segera," katanya.

Azlan berkata, pihaknya merujuk Jabatan Kerja Raya di negeri berkaitan untuk meminta penjelasan dan dimaklumkan kontraktor juga masih menunggu kelulusan untuk kerja penyelenggaraan.

Sementara itu Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, pihaknya membuat pemantauan berkala bagi memastikan kerja penurapan dijalankan sebaik mungkin.

Bagaimanapun katanya, pihaknya mendapati ada antaranya yang tidak memenuhi kualiti dan tidak tahan lama.

"Pada masa ini, kementerian melihat serius isu ini dan saya sendiri turun padang bagi meninjau kerja berkaitan.

"Antara isunya ialah kekurangan pekerja teknikal untuk kerja ini.

"Tanggungjawab penyelenggaraan jalan persekutuan ini kebanyakannya kita bagi kepada syarikat konsesi dan kita akan minta mereka pastikan mereka melihat perkara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 4:43 PM