Nor Fazlina Abdul Rahim

Pasir Puteh: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) akan melakukan kajian bagi mengawal kemasukan air masin melalui pintu kawalan air pasang surut (TCG) bagi menyelesaikan masalah bekalan air bersih di Kelantan.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ini kerana TCG berada di bawah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin Semerak antara kawasan yang mempunyai takungan air sangat besar.

"Namun, yang menjadi masalah apabila air masin atau air laut masuk ke dalam TCG yang menyebabkan sumber air itu menjadi payau.

"Justeru, satu kajian akan dibuat pihak kementerian untuk meneliti sejauh mana kita dapat mengawal air masin yang masuk dan kalau sekiranya sesuai dan berfungsi dengan baik, mungkin kita boleh jadikannya satu daripada projek TAPS (Takungan Air Pinggiran Sungai)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di kawasan IADA Kemasin Semerak, Gong Kulim di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi serta Pengarah IADA Kemasin Semerak Nik Hamadi Nik Abdullah.

TUAN Ibrahim (tiga kanan) bersama Timbalan Menteri Pertanian dan Industri  Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi (kanan) berbincang ketika hadir melawat terusan Semerak di Tidal Control Gate (TCG) di Gong Kulim, Pasir Puteh. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
TUAN Ibrahim (tiga kanan) bersama Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi (kanan) berbincang ketika hadir melawat terusan Semerak di Tidal Control Gate (TCG) di Gong Kulim, Pasir Puteh. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, TAPS adalah kaedah baharu yang diperkenalkan KASA dengan menghentikan air takungan sebelum disalurkan semula ke laut dan dimanfaatkan sebagai sumber bekalan air.

Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim berkata pihaknya memerlukan satu lagi pintu TCG di Pasir Puteh bagi mengurangkan risiko banjir.

Katanya, permohonan TCG yang membabitkan kos RM1.8 juta di kawasan Bukit Gedombak sudah dibuat peruntukannya dijangka diteliti di peringkat Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2020 @ 4:40 PM