Nor Amalina Alias

Pasir Puteh: Cuaca panas yang melanda negara ketika ini tidak mempengaruhi bekalan makanan daripada petani, penternak dan nelayan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata bekalan makanan dalam negara masih mencukupi ketika ini dan tidak menerima sebarang laporan berkaitan kekurangan bekalan makanan seperti ikan, daging dan sebagainya yang mungkin terkesan akibat cuaca El-Nino.

Katanya, bagi nelayan di musim panas, bekalan ikan dan makanan laut setakat ini masih mencukupi bahkan bekalan stok melebihi permintaan.

"Namun ini masih peringkat awal, El-Nino dijangka sehingga Ogos, jadi kita akan sentiasa pantau perkembangan bekalan makanan negara," katanya ketika ditemui dalam Majlis Jalinan Mesra Madani Bersama Nelayan Di Tok Bali di sini, hari ini.

MOHAMAD Sabu (dua kanan) ketika merasmikan kilang air batu Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) di Tok Bali, Pasir Puteh. FOTO Nor Amalina Alias
MOHAMAD Sabu (dua kanan) ketika merasmikan kilang air batu Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) di Tok Bali, Pasir Puteh. FOTO Nor Amalina Alias

Mohamad berkata, musim perayaan lalu juga pihaknya tidak menerima sebarang rungutan berkenaan kenaikan harga atau ketiadaan bekalan makanan seperti daging, ayam dan telur.

Sementara itu, Mohamad turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM600,000 bagi pembinaan tiga lokasi unjam di Negeri Kelantan di bawah Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Tumpat, Bachok dan Kota Bharu.

Selain itu, kementeriannya turut meluluskan projek naik taraf dan baik pulih infrastruktur jeti di Kuala Kemasin, Bachok dengan peruntukkan sebanyak RM200,000 yang memberi manfaat kepada 150 nelayan dan 80 bot.

Mohamad Sabu turut merasmikan kilang air batu Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) Tok Bali yang mula dibangunkan pada 2019 dan mula beroperasi pada Mac lalu dengan nilai RM10 juta.

Kilang berkapasiti 200 metrik tan dan masa sekarang hanya 100 metrik tan beroperasi dengan kemampuan mengeluarkan sebanyak 700 blok air batu sehari berukuran 145 kilogram per blok.

Selain itu, kementerian melalui LKIM turut menyalurkan bantuan dan insentif seperti RM183,000 elaun sara hidup nelayan (ESHN) kepada 611 nelayan PNK Semerak dan PNK Bachok, bantuan touch-point pukat, jaring dan kotak berinsulasi bernilai RM20,200 kepada 29 nelayan, bantuan Skim Tabung Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan (khairat kematian) RM1,500 dan bakul makanan kepada empat penerima serta satu geran Agropreneur Muda (GAM) bernilai RM20,000.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2023 @ 1:16 PM