Nor Amalina Alias

Pasir Puteh: Tragedi bot karam di perairan Pulau Redang yang mengorbankan tiga rakannya dan dua lagi masih hilang tidak mungkin dilupakan Muhammad Kamaruddin Yudi sampai bila-bila.

Ketika ditemui di Tok Bali hari ini, Muhammad Kamaruddin, 31, berkata, dia juga akan mengingati kenangan terakhir mereka bersama menikmati hidangan kuetiau masin, beberapa minit sebelum bot dinaiki terbalik.

"Kami makan kuetiau yang masin sebab masing-masing berebut nak tambah kicap, sos ikan dan garam. Tak sangka itu kenangan akhir kami," katanya.

Muhammad Kamaruddin berkata, tragedi Isnin lalu itu menyebabkan dia trauma dan sukar tidur kerana bayangan kejadian terlayar dalam ingatan serta mimpi.

"Ini kejadian pertama saya hadapi sejak turun ke laut seawal usia 10 tahun. Ombak tinggi kira-kira dua meter 'membelah' bot kami hingga terputus dua," katanya yang menjadi mangsa tunggal terselamat.

MUHAMMAD Kamaruddin (dua kiri)  bersyukur selamat dalam kejadian bot terbalik di kira-kira 10 batu nautika dari perairan Pulau Redang ketika ditemui di rumahnya di Tok Bali, Pasir Puteh. FOTO Nor Amalina Alias
MUHAMMAD Kamaruddin (dua kiri) bersyukur selamat dalam kejadian bot terbalik di kira-kira 10 batu nautika dari perairan Pulau Redang ketika ditemui di rumahnya di Tok Bali, Pasir Puteh. FOTO Nor Amalina Alias

Bapa dua cahaya mata itu memberitahu, mereka ke laut dari Jeti Cherang Ruku, Semerak pada 10 malam, Ahad lalu dan sepatutnya pulang ke rumah kelmarin.

Tiga rakannya, tekong bot, Saludin Ismail, 50; Mohd Nazri Abu Bakar, 48, dan Zulkifli Omar, 48, ditemui lemas semalam, manakala dua rakan, Ahmad Zamri Ishak, 66, dan Raja Zainudin Raja Ibrahim, 49, masih hilang.

Sementara itu, isteri Zulkifli, Zaridawati Abd Wahab, 45 berkata, kali terakhir dia menerima mesej suaminya ketika arwah masih di laut.

"Kemudian saya mendapat berita, dia dan rakan-rakan hilang selepas bot dinaiki terbalik," katanya yang memaklumkan jenazah suaminya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Gedombak pada 2.48 pagi tadi.

SALAH seorang mangsa, Ahmad Zamri Ishak yang dikhuatiri hilang selepas bot karam di Pulau Redang. FOTO ihsan Keluarga Zamri
SALAH seorang mangsa, Ahmad Zamri Ishak yang dikhuatiri hilang selepas bot karam di Pulau Redang. FOTO ihsan Keluarga Zamri

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2022 @ 3:46 PM