JALANI ujian saringan Covid-19. FOTO Asyraf Hamzah
JALANI ujian saringan Covid-19. FOTO Asyraf Hamzah
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Kelantan mencatatkan 20 kes positif Covid-19 hari ini, selain satu kluster baharu direkodkan iaitu Kluster Huma.

Daripada jumlah kes itu, 19 kes di Pasir Puteh adalah kontak rapat Kluster Huma, manakala satu kes lagi di Kota Bharu adalah kontak rapat Kluster Cengal.

Menerusi Facebook Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) memaklumkan, Kluster Huma membabitkan daerah Pasir Puteh dan Kota Bharu.

Katanya, kes indeks (iaitu kes ke-372) dilaporkan positif Covid-19 pada 2 Disember hasil saringan kontak rapat.

"Sehingga hari ini, sejumlah 80 individu sudah disaring, yang mana 20 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini," katanya.

Menerusi kluster terbaharu itu, Kelantan kini mempunyai lima kluster termasuk Kluster Hilir, Kluster Cengal, Kluster Mengketil dan Kluster Kube.

Sementara itu, Pengarah JKN Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin ketika dihubungi berkata, Kluster Huma itu dikesan selepas mempunyai kontak rapat dengan kes positif Covid-19 di Selangor.

"Justeru, saya menasihatkan semua penduduk di Kelantan menjaga prosedur operasi standard (SOP) bagi memutuskan rangkaian Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 8:01 PM