GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Seramai 41 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sebuah sekolah asrama di Machang disahkan positif Covid-19.

Jumlah berkenaan menjadikan 88 kes keseluruhan positif Covid-19 di Kelantan hari ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Datuk Dr Zaini Hussin berkata, kesemua pelajar terbabit dibawa ke pusat kuarantin di Dewan Jubli Perak dan Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) selepas disahkan positif.

Katanya, kes calon SPM berkenaan adalah kontak kepada Kluster Pangkal Changgong yang membabitkan tiga daerah iaitu Machang, Tanah Merah dan Pasir Puteh.

"Kita masih mengesan kontak rapat mereka yang positif bagi mengelak wabak berkenaan merebak," katanya kepada media, hari ini.

Kluster Pangkal Changgong adalah kluster membabitkan sebuah pusat pengajian di Pangkal Changgong dan tiga daerah terkesan dengan kluster itu setakat ini.

Kes daripada kluster berkenaan mula dikesan pada 10 Februari lalu hasil saringan individu bergejala membabitkan seorang pelajar perempuan.

Sehingga kini, kluster berkenaan sudah merekodkan 56 kes positif Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Februari 2021 @ 6:53 PM