Ahmad Faizal pada sidang media ketika tiba di pintu masuk utama Istana Kinta. FOTO Sharul Hafiz Zam
Ahmad Faizal pada sidang media ketika tiba di pintu masuk utama Istana Kinta. FOTO Sharul Hafiz Zam
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengharapkan Perikatan Nasional (PN) di Perak tidak berpecah-belah.

Ahmad Faizal berkata, beliau ketika ini 'caretaker government' bagi menjalankan tanggungjawab Menteri Besar kepada kerajaan negeri sementara sehingga Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) yang memiliki majoriti dilantik sebagai Menteri Besar Perak baharu.

Beliau berkata, setakat ini PN di Perak masih intact (tidak terjejas) dan Umno kekal bersama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PAS.

"Setahu saya ya (hubungan tidak terjejas antara Bersatu bersama Umno dan Pas), tetapi hari ini mereka mengambil tindakan (mengawalkan usul undi percaya) seperti pagi tadi tanpa berbincang dengan rakan-rakan lain tentunya kami dari Bersatu sedikit terasa hati sedikit.

"Ia agak mengambil masa untuk kita duduk balik bersembang, tetapi pada saya kerajaan PN di peringkat Pusat masih intact, jadi saya berharap PN di Perak ini tidak berpecah-belah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebaik keluar daripada perkarangan Istana Kinta bagi mengadap sembah Sultan Perak di Istana Kinta di sini petang ini.

Ahmad Faizal yang juga Pengerusi Bersatu Perak berkata, beliau sudah mengadap sembah maklum berkenaan perkara di Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) pagi tadi.

"Alhamdulillah saya berkesempatan mengadap Sultan Perak dan dalam waktu saya mengadap tadi saya menyembah maklum tentang apa yang berlaku di Sidang Dun Perak pagi tadi.

"Saya menyembah maklum tentang keadaan yang mana saya kehilangan majoriti dan tentunya Tuanku perlu membuat beberapa pertemuan dan sehingga baginda membuat satu keputusan untuk memilih seorang daripada kalangan ahli dewan yang mempunyai majoriti secukupnya untuk menubuhkan kerajaan (negeri)," katanya.

Menurutnya, hanya beliau sahaja mengadap sembah sementara Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri Perak Azmir Shah Zainal Abidin bersama orang besar negeri Perak hadir bersama.

Adun Chenderiang itu berkata, beliau turut berharap agar kemelut itu dapat diselesaikan dengan segera dan berharap semua rakyat bersabar untuk menantikan titah seterusnya daripada Sultan Perak.

Katanya, setakat ini programnya bersama kerajaan negeri masih diteruskan seperti mana biasa.

Beliau turut mengulas apabila ditanya pemberita berhubung kenyataan PAS tidak akan menyertai pembentukan kerajaan negeri baharu.

"Inilah yang saya sebutkan jika kita mengambil keputusan yang hanya mementingkan sesuatu maksud akan menyebabkan reaksi daripada pihak lain yang tidak mendatangkan keuntungan kepada kita sendiri, macam sekarang ini," katanya.

"Ia bermasalah sekarang yang memerlukan kita mencari jalan macam mana nak tubuhkan kerajaan (negeri baharu)," katanya.

Berita berkaitan

  • Saarani, Shahrul Zaman, Abdul Aziz disebut-sebut calon MB Perak?

  • MB Perak gagal dapat sokongan majoriti

  • Usul undi percaya bukti mendaulatkan sistem demokrasi

  • PAS tidak sertai pembentukan kerajaan Perak baharu

  • 'Nampak tenang, dalam jiwa berkocak'

  • Ahmad Faizal tak akan usul bubar DUN

  • Ahmad Faizal mengadap Sultan petang ini

  • Ahmad Faizal jamin peralihan kerajaan Perak berhemah

  • Ahli Bersatu Perak diminta bertenang: Ahmad Faizal
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 7:23 PM