AHMAD Faizal pada Persidangan DUN Perak. FOTO BERNAMA
AHMAD Faizal pada Persidangan DUN Perak. FOTO BERNAMA
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal memperoleh sokongan majoriti dalam usul undi percaya terhadapnya yang diusulkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Bharu, Datuk Abdul Manaf Hashim, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Daripada 59 ADUN, hanya 10 yang menyokong manakala 48 lagi membantah dan satu undi rosak dalam undi belah bahagi yang ditetapkan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid.

Ketika membahaskan usul berkenaan, Abdul Manaf berkata, tujuan usul undi percaya itu adalah bagi menentukan keabsahan (kewibawaan) kepimpinan Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar.

Katanya, ia sekali gus menolak dakwaan kononnya kerajaan negeri yang ada sekarang menggunakan pendekatan pintu belakang.

"Kita lihat ini (Sidang DUN) menjadi medan terbaik untuk selesaikan masalah ini kerana dalam situasi pandemik Covid-19 tidak sesuai diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan sebagainya.

"Ada juga dakwaan yang mengatakan UMNO bersekongkol dengan DAP untuk jatuhkan kerajaan. Maka cara ini (melalui undi percaya) tentukan samada ADUN Chenderiang ada majoriti atau tidak dalam dewan ini," katanya.

Perak mempunyai 59 ADUN yang terdiri daripada 25 ADUN Barisan Nasional, Bersatu (5), Pas (3), DAP (16), PKR (3), Amanah (5), Gerakan (1) dan Bebas (1).

Pada sesi pagi tadi, usul undi percaya Menteri Besar Perak itu diminta untuk dibahaskan lebih awal berbanding usul lain termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 iaitu Bajet Negeri Perak.

Perkara itu diusulkan oleh Salbiah Mohamed (BN-Temengor) dan Howard Lee (DAP-Pasir Pinji) atas alasan bahawa Dewan perlu membuktikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mempunyai keyakinan majoriti agar keraguan terhadap pemimpin kerajaan itu dapat dipadamkan.

Mohammad Zahir berpuas hati dengan perbahasan Salbiah kerana perkara itu dijelaskan secaa spesifik serta mempunyai sokongan 37 ADUN untuk membawa usul tersebut.

Beliau kemudiannya meminta Abd Manaf membacakan usul tersebut yang turut disokong Datuk Mohd Tarmizi Idris.

Sesi DUN kemudiannya dibuka untuk perbahasan oleh wakil kerajaan dan pembangkang dengan Razman Zakaria (Pas-Gunung Semanggol) menjadi wakil kerajaan tunggal berbahas menyokong usul tersebut.

Selepas tamat perbahasan, Mohammad Zahir mengumumkan proses pengundian belah bahagi dibuat selepas dicadangkan oleh Dr Abdul Aziz Bari (DAP-Tebing Tinggi) dengan sokongan Maslin Sham Razman (BN-Bukit Chandan).

Semua ADUN diberikan kertas undi khas untuk ditandakan sama ada menyokong, tidak menyokong atau berkecuali berserta tanda tangan.

Selepas undian dibuat, proses kiraan undi turut disaksikan wakil kerajaan, Datuk Zainol Fadzi Paharudin (Bersatu-Sungai Manik) dan wakil pembangkang, Tan Kar Hing (PKR-Simpang Pulai.

Speaker DUN kemudiannya menangguhkan persidangan DUN Perak pada Rabu.

Berita berkaitan

  • Usul undi percaya bukti mendaulatkan sistem demokrasi

  • PAS tidak sertai pembentukan kerajaan Perak baharu

  • 'Nampak tenang, dalam jiwa berkocak'

  • Ahmad Faizal tak akan usul bubar DUN

  • Ahmad Faizal mengadap Sultan petang ini

  • Ahmad Faizal jamin peralihan kerajaan Perak berhemah

  • Ahli Bersatu Perak diminta bertenang: Ahmad Faizal
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 11:31 AM