GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) mengesahkan seorang kakitangannya di bahagian pendaftaran positif Covid-19 kelmarin.

PTGS pada kenyataan hari ini memaklumkan, susulan itu, operasi aras bawah jabatan berkenaan ditutup sementara waktu.

Menurut kenyataan, penutupan bermula semalam sehingga 9 Disember ini bagi operasi sanitasi dan pembersihan premis mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Menurutnya, kakitangan itu disahkan positif hasil saringan kontak rapat dilaksanakan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Langat dan kini sedang menerima rawatan.

"Siasatan awal mendapati, kakitangan itu diarahkan untuk hadir saringan oleh PKD Kuala Langat pada 30 November sebelum disahkan positif Covid-19 pada 2 Disember.

"Kakitangan terbabit berkemungkinan dijangkiti menerusi ibu mentuanya yang disahkan positif Covid-19 pada 28 November lalu," katanya.

Menurut kenyataan, 23 kakitangan yang mempunyai kontak rapat sudah dikenal pasti dan dikuarantin 14 hari serta akan menjalani saringan mengikut PKD masing-masing.

Katanya, sebagai langkah berjaga-jaga, semua kakitangan aras berkenaan diarah menjalani kuarantin kendiri sepanjang tempoh penutupan premis bergantung kepada keputusan saringan kontak rapat PKD berkaitan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 6:42 PM