GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Sebuah resort terkemuka di Langkawi ditutup sementara bermula hari ini selepas 17 kakitangannya positif Covid-19.

Pengarah Kesihatan Kedah Dr Othman Warijo berkata, pengesanan awal kes bermula apabila pekerja resort membuat ujian saringan kendiri yang menjadi amalan bagi setiap dua minggu.

"Hasilnya 17 kes yang telah disahkan Jabatan Kesihatan negeri setakat ini.

"Manakala, penutupan sementara resort pula adalah atas inisiatif pihak resort itu sendiri bagi mengekang penularan wabak dan menjamin keselamatan pekerja serta pelancong," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dr Othman berkata, siasatan awal juga mendapati kes itu adalah penularan tempatan dalam kalangan pekerja dan tidak membabitkan pelancong tempatan mahupun antarabangsa.

Katanya, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) kini sedang mengesan kontak rapat kes dan memohon mana-mana individu yang mengalami gejala seperti demam, sakit tekak dan sesak nafas yang teruk agar segera membuat ujian saringan Covid-19 dan mendapatkan rawatan lanjut di pusat kesihatan berhampiran.

"Kita masih mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes ini termasuk berapa individu kontak rapat yang sudah menjalani ujian saringan Covid-19," kata beliau.

Sementara itu, resort mewah itu dalam kenyataan berkata, pihaknya telah mengambil keputusan proaktif untuk menutup sementara resort mulai hari ini bagi tempoh minimum selama 10 hari.

"Dengan kerjasama Kementerian Kesihatan, sebarang arahan selanjutnya akan dilaksanakan serta-merta.

"Ia termasuk kerja-kerja pembersihan dan sanitasi kuarters kakitangan serta keseluruhan resort oleh syarikat khusus bertauliah.

"Pengurusan resort juga secara proaktif telah memulakan ujian penuh untuk semua warga resort sebagai langkah berjaga-jaga," kata kenyataan itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 5:09 PM