JAWATANKUASA Pengurusan Bencana Terengganu mengambil dokumen mangsa banjir Kampung Binjai yang dipindahkan di PPS SK Chendering. FOTO ZAID SALIM
JAWATANKUASA Pengurusan Bencana Terengganu mengambil dokumen mangsa banjir Kampung Binjai yang dipindahkan di PPS SK Chendering. FOTO ZAID SALIM
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Dalam tempoh tidak sampai 24 jam selepas semua pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu ditutup, negeri ini kembali dilanda banjir apabila membuka semula PPS bermula malam tadi.

Sehingga 7 pagi tadi, sebanyak sembilan PPS dibuka di empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang dan Kemaman selepas penduduk di daerah berkenan terjejas akibat banjir susulan hujan lebat berterusan, sejak petang semalam.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, seramai 439 mangsa daripada 124 keluarga mula dipindahkan secara berperingkat sejak malam tadi.

Katanya, daerah Marang merekodkan jumlah mangsa tertinggi apabila seramai 156 mangsa daripada 42 keluarga ditempatkan di PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Rusila.

"Ia diikuti daerah Kuala Terengganu apabila tiga PPS iaitu SK Chendering, SK Ladang dan SK Pasir Panjang dibuka bagi menempatkan 114 mangsa daripada 36 keluarga.

"Di Kuala Nerus pula, seramai 22 keluarga membabitkan 96 mangsa ditempatkan di tiga PPS, manakala dua PPS dibuka di Kemaman bagi menempatkan 73 mangsa daripada 24 keluarga," katanya.

Che Adam berkata, kenaikan paras air laut juga agak drastik terutama di Bandaraya Kuala Terengganu malam tadi susulan hujan lebat berterusan.

"Hasil maklumat daripada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), julat hujan yang turun malam tadi hampir enam hingga lapan jam di antara 170 ke 180 milimeter (mm) yang mana sangat banyak untuk tempoh berkenaan.

"Kebiasaannya dalam tempoh sebulan, julat hujan yang turun antara 200 hingga 280 mm dan implikasi akibat hujan yang sangat banyak menyebabkan sebahagian besar Bandaraya Kuala Terengganu digenangi air," katanya.

Tambahnya, pertembungan fenomena air pasang besar juga menyebabkan aliran air di sebahagian kawasan rendah di Bandaraya Kuala Terengganu tidak dapat turun ke laut dengan lancar.

"Waktu puncak air pasang berkenaan bermula antara 1 hingga 2 pagi dan aliran air kembali lancar selepas itu.

"Difahamkan, sebahagian jalan yang ditutup di Bandaraya Kuala Terengganu malam tadi mula dibuka secara berperingkat bermula 3 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 8:57 AM