Anggota APM sedang memindahkan mangsa yang terjejas akibat banjir selepas kediaman mereka di Taman Permai Murni dinaiki air. FOTO IHSAN APM
Anggota APM sedang memindahkan mangsa yang terjejas akibat banjir selepas kediaman mereka di Taman Permai Murni dinaiki air. FOTO IHSAN APM
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Hujan berterusan sejak semalam menyebabkan beberapa kawasan di Terengganu mula dinaiki air.

Kuala Nerus menjadi daerah pertama di negeri ini dilanda banjir selepas pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Tok Jembal dibuka 7 pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kuala Nerus, Kapten (PA) Azulkarnain Awang@Abdul Aziz berkata, ia susulan kediaman penduduk di Taman Permai Murni, Kuala Nerus mula dinaiki air kira-kira 4 pagi tadi.

Beliau berkata, proses pemindahan mangsa yang terjejas sedang dijalankan.

"Ketika ini, hujan berterusan dan kita melakukan pemindahan mangsa ke PPS yang disediakan," katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan sangat lebat berterusan tahap bahaya dijangka berlaku di Terengganu, bermula semalam hingga hari ini.

MetMalaysia dalam kenyataan semalam memaklumkan ia membabitkan beberapa kawasan di Terengganu iaitu Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2023 @ 9:26 AM