Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abdul Kader (dua dari kanan) pada sidang media di Pejabat CAP, Jalan Masjid Negeri, di sini. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abdul Kader (dua dari kanan) pada sidang media di Pejabat CAP, Jalan Masjid Negeri, di sini. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Pelaksanaan pemberian vaksin Covid-19 daripada syarikat farmaseutikal Pfizer perlu diuji secara klinikal dan berkesan sebelum digunakan di negara ini.

Ia berikutan kebimbangan masyarakat mengenai kesan vaksin berkenaan terutama kepada golongan berisiko seperti warga emas, kanak-kanak dan mereka yang mempunyai penyakit.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abdul Kader berkata, kebiasaannya penghasilan sesuatu vaksin mengambil masa dan melalui proses yang panjang.

Katanya, CAP juga bimbang jika vaksin Covid-19 itu dihasilkan secara terburu-buru oleh syarikat farmaseutikal berkenaan.

"Data mengenai penghasilan vaksin berkenaan dibuat oleh syarikat farmaseutikal sendiri yang sudah pasti bermatlamatkan keuntungan.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga perlu menjalankan kajian mengenai kesan jangka panjang vaksin itu serta kesan sampingan kepada pengguna," katanya pada sidang media di Pejabat CAP, di sini, hari ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 27 November lalu mengumumkan kerajaan sudah menandatangani perjanjian pembelian awal vaksin dengan Pfizer bagi membolehkan negara ini mendapatkan 12.8 juta dos bekalan.

Namun, semalam seramai enam individu dilaporkan meninggal dunia dalam fasa terakhir ujian klinikal vaksin Covid-19 yang dibangunkan oleh syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat (AS) itu bersama rakan niaganya dari Jerman, BioNTech.

Media Australia The New Daily, melaporkan perkara itu didedahkan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) beberapa jam selepas United Kingdom (UK) menjadi negara pertama yang melaksanakan penggunaan vaksin berkenaan.

Justeru, Mohideen berkata, pihaknya sudah menghantar surat mengenai kebimbangan dan saranan CAP terhadap vaksin berkenaan kepada KKM dan Kementerian Sains dan Teknologi, semalam.

"Vaksin ini juga perlu mendapat kelulusan dan didaftarkan Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (USFDA) serta Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sebelum dibekalkan kepada orang awam.

Terdahulu, CAP memaklumkan akan lebih aktif menggunakan media sosial sebagai medium interaksi dengan orang ramai selaras dengan ulang tahun ke-50 penubuhan badan bukan kerajaan (NGO) itu pada tahun ini.

"CAP boleh diakses oleh orang ramai menerusi laman web kami (https://consumer.org.my), Facebook, Twitter, Instagram sertaYoutube supaya lebih dekat dengan golongan muda," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2020 @ 6:00 PM