Ahmad Ismail


Segamat: Tindakan pantas bomba membantu menangkap seekor buaya yang tersesat berhampiran kediaman penduduk di Kampung Berata di sini, hari ini.

Kelibat buaya tiga meter panjang itu, pada awalnya, disedari seorang penghuni perumahan berkenaan, jam 4.15 pagi.

Berikutan itu, bomba dihubungi bagi membantu menangkap reptilia berkenaan.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Jalan Abdullah, Segamat, PBK 2 Mansor Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan pada 4.29 pagi.

Beliau berkata, susulan itu, tujuh anggota bersama satu jentera dan sebuah kenderaan utiliti dihantar ke tempat kejadian.

"Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Segamat tiba di lokasi pada 4.32 pagi sebelum mendapati buaya terbabit di kawasan belukar berhampiran kediaman penduduk," katanya.

Beliau berkata, bomba menggunakan peralatan khas untuk menangkap reptilia itu.

Katanya, selepas berjaya ditangkap, ia dibawa balik ke balai untuk tindakan lanjut.

BOMBA menunjukkan buaya yang ditangkap. FOTO Ahmad Ismail
BOMBA menunjukkan buaya yang ditangkap. FOTO Ahmad Ismail

Sementara itu, penduduk Kampung Berata, Othman Mohamad Diah, 49 berkata, ia adalah kejadian kali pertama membabitkan penemuan buaya di kawasan berkenaan.

"Berkemungkinan, buaya itu dari sebuah lombong tinggal berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 8:47 AM