Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Penduduk di Pulau Gaya, di sini, menangkap buaya sepanjang empat meter yang dibimbangi mengancam keselamatan penduduk di kampung itu, petang hari ini.

Kehadiran buaya itu disedari seorang penduduk Kampung Pondo, pulau berkenaan, seawal 8 pagi hari ini, sebelum penduduk bekerjasama menangkap reptilia berkenaan.

Ketua Kampung Pulau Gaya, Rajit Serong, 60, berkata, sebaik menemui buaya berkenaan di kawasan perairan pulau itu, penduduk mengekori reptilia terbabit dengan menggunakan bot.

Katanya, kelibat buaya berkenaan semakin jelas ketika air laut surut selain hanya berlegar-legar berhampiran pantai Kampung Lobong.

BUAYA yang berjaya ditangkap penduduk kampung di Kampung Lobong, Pulau Gaya. FOTO Ihsan Pembaca
BUAYA yang berjaya ditangkap penduduk kampung di Kampung Lobong, Pulau Gaya. FOTO Ihsan Pembaca

"Kami terus memasang jerat menggunakan tali sebelum akhirnya menangkapnya sekitar 5.30 petang.

"Kami kemudian menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mendapatkan bantuan selanjutnya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rajit berkata, ia adalah pengalaman pertama mereka menangkap reptilia berkenaan sejak tinggal di pulau berkenaan.

"Tujuan kami menangkap buaya berkenaan adalah kerana bimbang keselamatan penduduk di pulau ini terutamanya kanak-kanak.

"Ia juga boleh mendatangkan bahaya kepada nelayan di perkampungan sekitar pulau ini," katanya.

Kejadian itu turut tular di media sosial selepas dimuat naik penduduk kampung yang berusaha menangkap reptilia berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 9:00 PM