Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kerajaan akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah untuk mempertimbang Proklamasi Darurat Perkara 150 (1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Bugaya dan Parlimen Gerik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, ia akan dibuat berdasarkan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berkata, rentetan daripada kes penularan wabak Covid-19 selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16 lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhadapan kesukaran mendapatkan petugas pilihan raya.

"Ia disebabkan petugas bimbang akan penularan wabak Covid- 19 di pusat mengundi di Batu Sapi.

"Dalam hal ini, situasi sama dijangka di Dun Bugaya dan Parlimen Gerik," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) meminta Perdana Menteri menyatakan adakah kerajaan bercadang untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi mengisytiharkan darurat di Dun Bugaya dan Parlimen Gerik seperti di Parlimen Batu Sapi.

Takiyuddin berkata, KKM memaklumkan kekangan untuk menyediakan pegawai dan kakitangan kesihatan bagi mengendalikan pengundi di khemah bergejala kerana keperluan pegawai dan kakitangan kesihatan yang tinggi di hospital dan klinik kesihatan.

"Malah pada masa sama, kebimbangan pengundi Parlimen Batu Sapi, Dun Bugaya dan Parlimen Gerik berkenaan risiko jangkitan Covid-19 di pusat mengundi, dijangka akan menyebabkan peratus keluar mengundi rendah iaitu kira-kira 50 peratus saja berbanding 60 peratus keluar mengundi pada PRK lalu," katanya.

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan. FOTO ASYRAF HAMZAH
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan. FOTO ASYRAF HAMZAH

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 11:13 AM