Yusmizal Dolah Aling


KuaIa Lumpur: Isu penamatan Ordinan Darurat dan Hartal Doktor Kontrak serta Ivermectin menjadi isu hangat di hari kedua Sidang Khas Dewan Rakyat yang ditangguhkan jam 5.45 petang ini.

Sejak awal, beberapa Ahli Parlimen mempersoalkan apakah penamatan darurat berkenaan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Mereka turut meminta penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengenai perkara itu.

Dalam jawapannya, Ahli Parlimen Kota Bharu itu memaklumkan beliau akan memberi penjelasan mengenainya Isnin ini seperti yang diminta Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Keadaan menjadi kecoh seketika apabila Ahli Parlimen berterusan mendesak Takiyuddin untuk memberi penjelasan apakah keputusan itu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

Antara yang mengambil bahagian untuk mencelah adalah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR- Port Dickson), Hanipa Maidin (Amanah-Sepang), RSN Rayer (DAP-Jelutong), M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) dan Khalid Abd Samad (Amanah- Shah Alam).

Satu lagi isu yang mendapat perhatian Dewan Rakyat adalah Hartal Doktor Kontrak mengundang perdebatan.

Abdullah Sani Abdul Hamid (PKR-Kapar) meminta supaya isu berkenaan diselesaikan segera mengambil kira peranan doktor sebagai barisan hadapan ketika ini.

Katanya, isu berkenaan bukan isu baharu malah sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu.

"Kita perlu hargai mereka dan tindakan tidak boleh diambil kepada mereka. "Kita tidak boleh berkompromi dalam soal disiplin, tetapi ini bukan soal disiplin, ini soal hak mereka," katanya.

Ahli Parlimen Kota Bharu dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menjawab soalan ketika Sesi Sidang khas Dewan Rakyat. FOTO IHSAN RTM
Ahli Parlimen Kota Bharu dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menjawab soalan ketika Sesi Sidang khas Dewan Rakyat. FOTO IHSAN RTM

Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR- Setiawangsa) isu itu perlu diselesaikan segera kerana keadaan akan lebih meruncing dengan bebanan tugas yang semakin tinggi.

Semalam lebih 100 doktor kontrak di setiap hospital di seluruh negara menyertai perhimpunan aman Gerakan Hartal Doktor Kontrak bagi mengetengahkan beberapa tuntutan kepada kerajaan.

Ia dibangkitkan di Dewan Rakyat pada hari pertama sidang khas semalam, susulan himpunan yang diadakan untuk menuntut hak mereka.

Sementara itu Adham berkata, tiada sebarang tindakan diambil kepada doktor kontrak terbabit.

Katanya kerajaan sudah memperhalusi isu berkenaan dan ia akan dibawa ke Dewan Rakyat bagi membolehkan mereka mendapat pembelaan sewajarnya.

"Mereka sudah pun mendapat kenaikan gred yang mana ia setara dengan apa yang dinikmati kakitangan tetap.

"Kita tidak akan tindakan disiplin kepada mereka," katanya.

Adham berkata, antara yang diberi pertimbangkan ialah untuk melihat semula Akta Pencen dan ia akan dibawa untuk persetujuan Parlimen.

Dewan Rakyat juga gamat mengenai isu Ivermectin yang dibawa beberapa Ahli Parlimen mengenai penggunaan ubat itu di negara ini.

Memberi reaksi kepada isu itu, Adham berkata, KKM sedang melakukan kajian dan keputusan mengenainya dijangka diketahui sedikit masa lagi.

Ia menimbulkan pertikaian beberapa Ahli Parlimen yang mahu ia diputuskan dengan kadar segera.

Sidang diteruskan esok dengan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (Mosti) akan memberi penjelasan berhubung vaksinasi dan yang berkaitan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 6:31 PM